HOUSTON: Sebuah video memaparkan kru Artemis II membincangkan misi ke bulan beberapa bulan sebelum pelancaran bersejarah minggu ini, kini tular sehingga mencetuskan teori konspirasi yang mendakwa misi Apollo sebelum ini hanya lakonan.
Klip pendek Komander Reid Wiseman mendapat perhatian meluas di media sosial selepas beliau dirakam berkata ‘ini adalah kali pertama kami akan menghantar manusia ke bulan dan pada masa yang sama, mempunyai manusia di orbit rendah Bumi’.
Penyokong teori konspirasi segera menggunakan kenyataan tersebut sebagai kononnya ‘bukti’ misi ke bulan terdahulu tidak pernah berlaku.
“Itulah pengakuannya. Mereka menipu tentang pendaratan di bulan,” tulis seorang pengguna di X.
Teori konspirasi pendaratan bulan mendakwa Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) memalsukan misi Apollo antara tahun 1969 hingga 1972, dengan menuduh ia dirakam di dalam studio bagi memenangi Perlumbaan Angkasa menentang Kesatuan Soviet.
Bagaimanapun, klip tular berdurasi 25 saat itu sebenarnya diambil daripada video lebih panjang yang menunjukkan Wiseman secara jelas mengiktiraf misi Apollo.
Beliau menjelaskan komen tersebut merujuk kepada beliau dan tiga lagi angkasawan Artemis II sebagai krew pertama dalam era baharu penjelajahan bulan.
Misi Artemis II yang dilancarkan pada Selasa lalu, menandakan kali pertama manusia kembali menuju ke bulan sejak era Apollo dan pengembaraan pertama angkasawan melepasi orbit rendah Bumi dalam tempoh lebih 50 tahun.
Krew tersebut terdiri daripada angkasawan NASA; Wiseman, Victor Glover dan Christina Koch, serta angkasawan Kanada, Jeremy Hansen. Mereka dijadualkan melakukan perjalanan selama 10 hari mengelilingi bulan sebelum kembali ke Bumi.
Menjelang 6 April ini, krew berkenaan dijangka berada kira-kira 250,000 batu dari Bumi, sekali gus memecahkan rekod jarak jauh yang ditetapkan oleh misi Apollo 13 pada tahun 1970.
NASA secara konsisten menegaskan bahawa misi Apollo adalah benar, disokong oleh data telemetri, batuan bulan serta testimoni ribuan jurutera dan saintis, walaupun segelintir pihak terus mempertikaikannya.
Kenyataan Wiseman yang mencetuskan kontroversi itu sebenarnya dibuat pada 24 September 2025. Kira-kira 20 minit sebelum komen tersebut dirakam, beliau telah pun menyatakan ‘kita telah pun ke bulan dalam misi Apollo’.
“Jadi apabila kita menjalani latihan dan bercakap mengenai persediaan melihat bulan, di sudut hati saya dan anda, kita tahu kita pernah berada di sana. Kita telah mengorbit bulan, kita pernah melihat semua ini sebelum ini.
“Persoalannya, apakah perkara baharu yang dibawa oleh Artemis II kepada kita semasa kita terbang mengelilingi bulan nanti?” tegas Wiseman. -AGENSI










