UAE nafi mahu sertai perang Iran untuk buka Selat Hormuz

UAE nafi mahu sertai perang Iran untuk buka Selat Hormuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyangkal laporan negara itu mahu terlibat dalam konflik yang sedang berlangsung di Asia Barat bagi memaksa pembukaan Selat Hormuz.

Seorang pegawai dalam kenyataan yang dipetik NBC News berkata, laporan berhubung perubahan pendirian UAE adalah mengelirukan, sambil menegaskan negara itu kekal dengan pendekatan pertahanan.

“UAE mengekalkan pendirian pertahanan yang tertumpu kepada melindungi kedaulatan, rakyat dan infrastrukturnya, serta berhak mempertahankan diri sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan yang menyalahi undang-undang dan tidak diprovokasi,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap laporan The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa UAE ‘bersedia untuk menyertai pertempuran’ bagi membuka semula laluan perairan berkenaan.

Dalam pada itu, pegawai tersebut menegaskan, UAE kekal bersedia menyokong usaha kolektif antarabangsa bagi melindungi keselamatan maritim dan memastikan kelancaran aliran perdagangan melalui Selat Hormuz.

“Kenyataan itu menegaskan laluan perairan strategik seperti itu tidak boleh tertakluk kepada gangguan atau paksaan oleh mana-mana negara, khususnya dengan cara yang mengancam kestabilan ekonomi global dan keselamatan antarabangsa,” katanya.

Perkembangan itu berlaku sehari selepas WSJ melaporkan UAE sedang bersiap sedia untuk menyokong usaha diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi membuka semula Selat Hormuz secara paksa.

Selat Hormuz terjejas secara berkesan sejak awal Mac, apabila Iran bertindak menyekat laluan itu sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel yang bermula pada 28 Februari.

Kira-kira 20 juta tong minyak, iaitu sekitar 20 peratus daripada bekalan global, lazimnya melalui selat tersebut setiap hari.

Penutupannya menyebabkan harga minyak dunia meningkat, mengganggu perkapalan dan mencetuskan kebimbangan terhadap kerosakan ekonomi yang berpanjangan.

AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran sejak akhir Februari, mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN