PETALING JAYA: Atlet menembak negara, Jonathan Wong menyasarkan prestasi terbaik di tiga siri kejohanan bertaraf dunia sebagai pemanas badan menjelang Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya pada September ini.
Katanya, musim ini menyaksikan beliau bakal menyertai beberapa kejohanan penting termasuk Piala Dunia di Sepanyol pada April, kejohanan Eropah di Berlin, serta kejohanan Dunia di Munich pada penghujung Mei yang menjadi medan awal menguji tahap persiapan ke Sukan Asia.
“semua kejohanan ini boleh dikatakan permulaan musim dan persiapan ke arah Sukan Asia pada September ini,” katanya.
Mengulas peluang meraih pingat di temasya Sukan Asia, Jonathan tidak menafikan saingan kali ini cukup sengit memandangkan dominasi atlet Asia dalam sukan menembak di peringkat dunia termasuk Sukan Olimpik.
Namun begitu, beliau kekal optimis berdasarkan pencapaian konsisten sebelum ini apabila berjaya mara ke pentas final dalam beberapa kejohanan besar termasuk Asian Games dan Kejohanan Asia.
“kita tak boleh menafikan saingan dari rantau Asia bukan senang, tapi bukan mustahil. Kalau kerja keras, peluang tetap ada,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut mengakui tekanan sebagai antara atlet utama negara yang sering diletakkan harapan tinggi untuk memburu slot ke Sukan Olimpik, namun menyifatkan tekanan itu sebagai pemangkin prestasi.
“Tekanan memang ada, tapi saya juga yang letak tekanan pada diri sendiri. Siapa tak nak ke Olimpik?” katanya.
Jonathan yang telah dua kali beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 dan Tokyo berkata,fokusnya kini bukan sahaja tertumpu kepada Sukan Asia, malah turut memburu slot kelayakan Olimpik yang akan bermula tahun ini menerusi kutipan mata dan kejohanan kelayakan dunia.
Beliau menjelaskan, Kejohanan Dunia hujung tahun ini di Doha antara pentas penting yang menawarkan slot kuota Olimpik kepada dua atlet terbaik, sekali gus menjadi sasaran utama musim ini.
Selain itu, Jonathan turut menegaskan kepentingan pendedahan di peringkat antarabangsa sebagai faktor utama peningkatan prestasi, berbanding hanya bergantung kepada kejohanan tempatan.
“Bila kita pergi luar negara, tahap permainan berubah. Kita perlukan tekanan di peringkat dunia untuk benar-benar bersedia,” katanya.-UTUSAN










