Tiada keperluan hukuman mati dalam APJ bagi kesalahan pemandu mabuk

Tiada keperluan hukuman mati dalam APJ bagi kesalahan pemandu mabuk

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk memperkenalkan hukuman mati dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk mendakwa kesalahan serius dan pesalah masih boleh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika berkaitan.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan pindaan akta dengan memberi fokus kepada pengukuhan bantuan kepada keluarga mangsa termasuk mewajibkan pesalah membayar pampasan.

Katanya, ini kerana saluran sedia ada bagi keluarga mangsa adalah melalui tindakan sivil yang prosesnya membebankan serta mengambil masa lama.

“Bagi kerajaan, kami telah menghentikan hukuman mati mandatori. Jadi ini bukan perkara yang kami sedang pertimbangkan walaupun terdapat gesaan daripada pihak pembangkang.

“Kerajaan tidak perlu memenuhi semua tuntutan yang dikemukakan oleh pembangkang. Tanpa peruntukan hukuman mati dalam akta tersebut, Jabatan Peguam Negara (AGC) masih boleh mendakwa seseorang di bawah Kanun Keseksaan.

“Apa yang kita pinda adalah untuk memastikan ada pampasan kepada keluarga mangsa. Jika mereka (pesalah) didapati bersalah, selain hukuman penjara dan denda mereka juga akan bertanggungjawab membayar pampasan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Titik Buta Spot It di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, pindaan akta berkenaan dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang iaitu pada Jun ini.

Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang bekerjasama dengan AGC bagi merangka pindaan tersebut.

“Sekarang kami sedang merangka pindaan tersebut dan berharap dapat membentangkannya dalam sidang Parlimen Jun,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Pengangkutan sedang merangka cadangan untuk melakukan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pemandu mabuk membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara.

Anthony Loke dilaporkan berkata, sebelum ini, pindaan undang-undang berkaitan telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah tersebut.

Ia susulan insiden kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang, yang didakwa melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN