KUALA LUMPUR: Ketiadaan Lee Zii Jia pada hari pertama sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini mencetuskan tanda tanya ketika persiapan Piala Thomas semakin memuncak.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan pemain perseorangan profesional negara itu terpaksa menangguhkan kehadiran susulan kecederaan ringan.
“Dia sepatutnya bermula hari ini, tetapi kerana mengalami kecederaan sedikit, kami masih menunggu maklum balas bila dia boleh mula latihan, namun dia tetap komited untuk hadir,” katanya selepas meninjau sesi latihan di ABM.
Menurut beliau, tahap kecergasan fizikal serta keyakinan mental Zii Jia akan menjadi faktor penting dalam menentukan peranannya menjelang kempen Piala Thomas di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.
Dalam perkembangan sama, barisan kejurulatihan kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan senarai 10 pemain bagi saingan Piala Thomas dan Uber minggu depan. – UTUSAN










