BANGKOK: Kerajaan Thailand mengeluarkan amaran tegas kepada pengguna media sosial yang membuat ‘gurauan’ sempena April Fool, boleh berdepan tindakan undang-undang serius, termasuk denda dan hukuman penjara.
Timbalan jurucakap kerajaan, Airin Panrit berkata, walaupun hari tersebut biasanya dikaitkan dengan gurauan bertujuan keseronokan, keadaan global semasa menjadikan panik sosial sebagai risiko yang serius.
Pihak berkuasa bimbang dengan hantaran yang mungkin dikongsi secara meluas, sehingga menyebabkan kekeliruan atau menjejaskan reputasi individu.
Polis Diraja Thailand memaklumkan, dua saluran undang-undang utama yang boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap individu melakukan gurauan melampau di media sosial.
Di bawah Akta Jenayah Komputer, individu yang didapati memuat naik atau menyebarkan maklumat palsu menjejaskan keselamatan negara, keselamatan awam atau kestabilan ekonomi, boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda 100,000 baht (RM12,388) atau kedua-dua sekali.
Sementara itu, di bawah kesalahan jenayah fitnah, hantaran yang menjejaskan reputasi individu, mencetuskan kebencian atau komen berunsur penghinaan boleh didakwa mengikut Seksyen 328 Kanun Jenayah, dengan dua tahun penjara dan denda maksimum 200,000 baht (RM24,765).
“Dalam situasi konflik berterusan di Asia Barat dan kesannya terhadap bekalan tenaga, kerajaan memohon kerjasama semua pihak untuk hanya berkongsi maklumat tepat dan bermanfaat,” kata Airin.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum menekan butang kongsi bagi memastikan keyakinan awam kekal terpelihara dalam keadaan yang tidak menentu ketika ini.
Polis Diraja Thailand melancarkan program pemantauan 24 jam bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap pihak yang mencipta atau menyebarkan berita palsu yang mencetuskan keresahan masyarakat.
“Hari April Fool tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menimbulkan masalah atau menyebarkan maklumat tidak benar,” kata jurucakap polis.- AGENSI










