Tekanan PRU-16 semakin panas, ahli Bersatu perlu kekal jati diri - Rina 

Tekanan PRU-16 semakin panas, ahli Bersatu perlu kekal jati diri – Rina 

RINA Harun ketika berucap di Konvensyen Bersatu Selangor di IDCC di sini, hari ini. -UTUSAN/SHIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya bersedia berdepan pelbagai tekanan dan pengaruh luar yang dijangka semakin memuncak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bendahari Agong Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, menjelang pembubaran parlimen yang akan datang, sudah pasti akan ada gangguan daripada pihak tertentu yang akan mengganggu ahli-ahli parti.

“Kita dah hampir dah ni, pilihan raya umum secara automatik akan bubar pada Disember 2027 kerana dikira lima tahun dari tarikh sidang Dewan Rakyat.

“Dalam masa yang suntuk ini, akan ada pengaruh-pengaruh yang cuba menarik kita supaya tidak bersama dengan parti Bersatu,” katanya berucap di Konvensyen Bersatu Selangor di IDCC di sini, hari ini. 

Rina berkata, tekanan tersebut bukan sahaja melibatkan kuasa politik, malah turut merangkumi kepentingan tertentu yang boleh menggugat kesetiaan ahli jika tidak berpegang teguh kepada prinsip perjuangan.

“Dalam organisasi politik yang mempunyai visi besar untuk mentadbir negara, cabaran menjaga jati diri memang lebih kuat kerana wujud tekanan kuasa, pengaruh dan kepentingan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, setiap ahli perlu memahami perbezaan antara kesetiaan dan ketaksuban agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk pujukan.

“Saya berharap peganglah prinsip lebih tinggi daripada kepentingan politik, faham beza antara kesetiaan dan taksub, dan sentiasa rujuk tujuan asal perjuangan kita,” katanya.

Menurutnya, jati diri yang kukuh merupakan benteng utama bagi memastikan ahli parti kekal berintegriti dan tidak mudah terikut-ikut dengan arus luar.

“Tanpanya seseorang mudah hilang arah. Sebab itu penting untuk kita kekalkan prinsip dan nilai dalam perjuangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN