PARIS: Bekas pemain No. 1 dunia, Iga Swiatek melantik bekas jurulatih Rafael Nadal, Francisco Roig sebagai jurulatih baharunya menjelang musim gelanggang tanah liat Eropah.
Keputusan drastik itu dibuat susulan prestasi hambar awal musim 2026 termasuk kekalahan di pusingan pertama Terbuka Miami yang menggoncang keyakinan pemain Poland berusia 24 tahun itu.
Swiatek dilihat sudah mula menjalani latihan intensif di Akademi Rafa Nadal dengan kehadiran Roig sebagai arkitek baharu dalam usaha mengembalikan sentuhan dominannya di gelanggang tanah liat.
Pelantikan Roig yang pernah membimbing Nadal selama hampir dua dekad dilihat sebagai langkah strategik bagi mengembalikan identiti permainan agresif dan konsisten Swiatek.
“Saya rasa sedikit keliru, tetapi tiada jalan lain selain terus ke hadapan dan bekerja keras untuk mendapatkan semula rentak permainan saya.
“Tenis terasa sangat kompleks dalam fikiran saya ketika ini walaupun saya tahu ia sepatutnya mudah, dan dari segi mental ia mungkin mengambil sedikit masa untuk kembali stabil,” kata Swiatek.
Sebelum ini, Swiatek mengambil keputusan berpisah dengan Wim Fissette meskipun pernah meraih kejayaan termasuk gelaran Wimbledon tahun lalu, namun gagal melangkah lebih jauh daripada suku akhir sepanjang musim ini.
Kini dengan Roig di sisinya, Swiatek dijangka bangkit memburu kejuaraan pertama musim ini bermula di Stuttgart sambil menghidupkan semula reputasinya sebagai ratu gelanggang tanah liat dunia. – AGENSI










