SSMP bawa cabaran negara ke Bangkok

SSMP bawa cabaran negara ke Bangkok

Skuad kendalian Yusli Ashan bersama Mohd Nasrul Hakim itu dilihat membawa misi besar dalam usaha memperkasa pembangunan bakat muda ragbi negara di peringkat lebih tinggi.-IHSAN KRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad ragbi bawah 17 tahun Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) menggalas cabaran negara apabila dipilih mewakili Malaysia ke Kejohanan Piala Presiden Bawah 17 Tahun anjuran Thailand Rugby Union di Bangkok, bermula 4 hingga 10 April ini.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Royal Thai Air Force itu menghimpunkan tiga negara iaitu Thailand selaku tuan rumah, Malaysia dan Laos dalam saingan format 15 sebelah.

Lebih membanggakan, penyertaan kali ini mencipta sejarah tersendiri buat SSMP apabila buat pertama kali beraksi di pentas antarabangsa bagi format tersebut.

Skuad kendalian Yusli Ashan bersama Mohd Nasrul Hakim itu dilihat membawa misi besar dalam usaha memperkasa pembangunan bakat muda ragbi negara di peringkat lebih tinggi.

Aksi pembukaan kejohanan menyaksikan Thailand menentang Laos pada 4 April, sebelum Malaysia memulakan kempen berdepan Laos pada 7 April.

SSMP kemudian dijadual menutup saingan dengan perlawanan getir menentang tuan rumah pada 10 April.

Seramai 26 pemain dipilih bagi memikul tanggungjawab membawa cabaran negara, dengan barisan kejurulatihan optimis anak buah mereka mampu mempamerkan aksi terbaik.

Malah, penyertaan ini bukan sekadar memburu kemenangan, sebaliknya menjadi pentas penting untuk menimba pengalaman antarabangsa serta mengukuhkan lagi pembangunan sukan ragbi di Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN