Skuad ragbi 7s Malaysia kembali pulih

Skuad ragbi 7s Malaysia kembali pulih

Nik Safuan Ismade Nik Man
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persiapan skuad ragbi 7s negara menuju Sukan SEA 2025 yang bakal diadakan di Bangkok, Thailand pada Disember ini kembali di landasan yang tepat.

Sebahagian besar pemain yang berdepan kecederaan sebelum ini beransur pulih dan kembali menjalani latihan.

Ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, daripada lapan pemain yang pada awalnya mengalami kecederaan, hanya dua pemain masih menjalani fasa rehabilitasi di bawah pemantauan Institut Sukan Negara (ISN).

“Daripada lapan yang cedera, hanya tinggal dua sahaja yang masih dalam fasa rehabilitasi. Pemain lain sudah kembali ke padang dan kita pantau mereka setiap sesi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, skuad Bunga Raya 7s menyertai Siri kedua Ragbi Tujuh Sebelah (7s) Asia Emirates di Colombo, Sri Lankadari 18 hingga 19 Oktober lalu.

Kejohanan itu menjadi medan persiapan skuad negara menjelang Sukan SEA 2025, malah anak-anak buahnya juga telah mempamerkan prestasi memberangsangkan.

Menurutnya, beberapa latihan berintensiti tinggi masih dielakkan buat masa ini bagi mengurangkan risiko kecederaan berulang.

“Kami mengawal beban latihan dengan ketat. Beberapa latihan tertentu ditangguhkan dahulu sehingga semua pemain benar-benar bersedia.

“Apa yang penting, pelan persiapan kita masih berjalan lancar,” katanya.

Dengan hanya tiga bulan tempoh latihan pusat sebelum berlepas ke Bangkok, beliau mengakui terdapat kekangan masa dalam tempoh latihan.

Namun ia bukan alasan untuk tidak memberikan aksi terbaik pada temasya dwitahunan itu.

“Kami sasarkan untuk berada di pentas akhir Sukan SEA. Itu tetap menjadi sasaran utama,” katanya.

Tambahnya, Thailand dan Filipina menjadi pencabar utama manakala Singapura pula memiliki kelebihan kerana sudah menjalani persiapan lebih lama.

“Thailand dan Filipina memang kuat, ditambah lagi dengan pemain naturalisasi. Singapura pula telah membuat persiapan rapi selama dua tahun.

“Tetapi kita tidak mahu jadikan itu sebagai alasan. Saya percaya kita boleh berikan yang terbaik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN