Sepanyol sedia ambil tindakan sorakan anti-Islam ketika lawan Mesir

Sepanyol sedia ambil tindakan sorakan anti-Islam ketika lawan Mesir

PENYERANG Sepanyol, Lamine Yamal (kiri) diasak pemain Mesir, Islam Issa dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di RCDE Stadium.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Perlawanan persahabatan antara Sepanyol dan Mesir di Barcelona dicemari insiden sorakan berunsur anti-Islam serta xenofobia, sekali gus mencetuskan kecaman pemimpin negara itu dan siasatan pihak polis.

Dalam aksi yang berkesudahan seri 0-0 di Stadium RCDE, lagu kebangsaan Mesir juga dilaporkan diejek oleh segelintir penyokong sebelum sepak mula, manakala sorakan menghina terus kedengaran sepanjang perlawanan.

Pengurusan stadium milik kelab RCD Espanyol itu beberapa kali terpaksa menggunakan sistem pembesar suara bagi menggesa penyokong menghentikan tingkah laku tidak beradab berkenaan.

Polis wilayah Catalonia, Mossos d’Esquadra, mengesahkan siasatan telah dibuka susulan insiden terbabit yang disifatkan mencemarkan imej Sepanyol.

“Kami sedang menyiasat sorakan anti-Islam dan xenofobia semalam di Stadium RCDE ketika perlawanan persahabatan Sepanyol-Mesir,” menurut kenyataan polis itu di platform X.

Menurut laporan, antara laungan yang kedengaran termasuk kata-kata provokatif berbunyi: “Siapa yang tidak melompat adalah Muslim,” yang jelas menyinggung sensitiviti agama.

Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal yang juga beragama Islam, tampil mengecam tindakan tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak menghormati dan berbaur rasis.

“Kepada mereka yang menyanyikan perkara seperti itu menggunakan agama sebagai bahan ejekan di padang menunjukkan anda jahil dan rasis,” katanya.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengutuk keras insiden itu dan menyifatkan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan menegaskan ia tidak mencerminkan identiti Sepanyol sebagai negara yang majmuk serta bertoleransi.

Nada sama disuarakan Menteri Kehakiman, Felix Bolanos yang menyifatkan penghinaan berunsur kebencian itu sebagai memalukan masyarakat.

Persatuan Bolasepak Mesir juga mengeluarkan kenyataan mengecam keras insiden tersebut yang dianggap melampaui batas semangat kesukanan.

Insiden ini menjadi episod terbaharu yang mencalar imej bola sepak Sepanyol, selepas beberapa kes terdahulu termasuk penghinaan perkauman terhadap penyerang Real Madrid, Vinicius Junior.

Perlawanan itu merupakan aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, dengan kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tempat ke kejohanan berprestij itu.

Sepanyol bakal bersaing dalam Kumpulan H bersama Cape Verde, Arab Saudi dan Uruguay manakala Mesir diundi dalam Kumpulan G bersama Belgium, New Zealand serta Iran.-AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN