PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) menghantar mesej jelas kepada Liverpool apabila melakar kemenangan 2-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Seawal minit ke-11, PSG sudah menggegarkan gawang pelawat menerusi penyudah berani Désiré Doué yang bijak mengambil peluang hasil situasi kelam-kabut di depan gol, sebelum bola melambung melepasi penjaga gol, Giorgi Mamardashvili.
Dominasi tuan rumah berterusan tanpa belas kasihan apabila PSG mengawal tempo, memaksa Liverpool bernafas dalam tekanan dan sesekali hanya mampu bertahan dengan formasi bertindih di benteng sendiri.
Gol kedua hadir pada minit ke-65, kali ini menerusi sentuhan klinikal Khvicha Kvaratskhelia yang mudah menewaskan Mamardashvili sekaligus satu jaringan yang menggambarkan jurang keyakinan antara kedua-dua pasukan malam itu.
Namun, di sebalik kemenangan, PSG mungkin menyimpan sedikit rasa terkilan selepas peluang demi peluang dicipta, malah sepakan penalti turut ‘ditarik balik’ selepas semakan VAR memberi bayangan bahawa keputusan ini sepatutnya lebih besar.
Taktikal Arne Slot yang memilih pendekatan bertahan gagal mengekang kreativiti PSG, malah memperlihatkan The Reds terperangkap dalam ‘mod bertahan’ yang tidak berkesudahan.
Statistik tidak memihak Liverpool dengan hanya satu kemenangan dalam enam perlawanan terakhir, ditambah kekalahan demi kekalahan yang menghakis moral.-AGENSI










