PSG elak terperangkap di Anfield

PSG elak terperangkap di Anfield

PEMAIN Paris Saint-Germain mengadakan sesi latihan rasmi sebelum menentang Liverpool dalam aksi kedua uku akhir Liga Juara-Juara di Anfield, esok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique mengingatkan anak buahnya agar tidak alpa dan terperangkap dengan jerat Liverpool menjelang aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara di Anfield, esok.

Menurutnya, kelebihan dua gol yang dimiliki selepas menang 2-0 pada aksi pertama di Paris tidak menjamin laluan mudah buat PSG untuk melangkah ke separuh akhir.

Katanya, Liverpool terkenal dengan kebangkitan dramatik di pentas Eropah, justeru pasukannya perlu lebih berwaspada sepanjang 90 minit perlawanan.

“Semua orang bercakap kami menang mudah dalam perlawanan pertama tetapi dalam bola sepak, situasi boleh berubah dengan pantas.

“Kami tidak boleh leka kerana satu gol awal boleh mengubah keseluruhan corak permainan,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Pada aksi pertama di Parc des Princes, PSG jelas mendominasi permainan apabila Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia masing-masing meledak gol untuk memberikan kelebihan selesa buat kelab Perancis itu.

Bagaimanapun, Enrique menegaskan dia tidak akan mengarahkan pasukannya bermain secara bertahan meskipun memiliki kelebihan agregat.

Sebaliknya, Enrique mahu PSG terus mengekalkan corak permainan menyerang bagi memastikan kemenangan di Anfield.

“Kami akan turun untuk menang seperti biasa. Kami tahu Liverpool akan memberikan tekanan tetapi kami juga bersedia menghadapi cabaran tersebut,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengakui suasana di Anfield yang terkenal dengan sokongan padu penyokong tuan rumah mampu memberi kelebihan kepada Liverpool.

Namun, Enrique percaya situasi itu juga boleh menjadi pembakar semangat buat anak buahnya untuk tampil lebih cemerlang.

“Kami tahu betapa sukarnya bermain di Anfield, tetapi ini juga peluang untuk kami membuktikan kemampuan sebenar pasukan,” katanya.

PSG kini berada di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir, namun segala-galanya bakal ditentukan dalam aksi penuh mendebarkan di gelanggang keramat Liverpool itu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN