HAMILTON: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya melangkaui gencatan senjata di Gaza dan bergerak ke arah menamatkan sepenuhnya pendudukan Israel di wilayah Palestin.
Dalam perbahasan terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai Asia Barat pada Selasa, wakil Turkiye di PBB, Ahmet Yildiz, yang mewakili OIC sebagai pengerusi berkata, pihaknya mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata di Gaza serta permulaan fasa kedua perjanjian itu selaras dengan Resolusi 2803 Majlis Keselamatan.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran keadaan di Gaza dan wilayah Palestin yang diduduki masih berada pada tahap membimbangkan, dengan rakyatnya terus berdepan penderitaan di bawah pendudukan haram Israel.
Beliau berkata, pelanggaran Israel semakin meningkat termasuk serangan terhadap orang awam di Gaza dan Tebing Barat, selain keganasan peneroka termasuk di Baitulmuqaddis yang berterusan.
Yildiz turut merujuk kepada keputusan terbaharu Israel untuk meluluskan pembinaan penempatan baharu di wilayah Palestin, yang menurutnya memburukkan lagi keadaan di kawasan terbabit.
OIC menegaskan, keamanan berkekalan di Asia Barat hanya boleh dicapai dengan pengunduran Israel dari semua wilayah Arab yang diduduki, termasuk Dataran Tinggi Golan di Syria.
Pertubuhan itu turut menggesa pematuhan terhadap Resolusi 242, Resolusi 338 dan Resolusi 497, serta mengecam perobohan Israel ke wilayah Syria sejak 8 Disember 2024, yang disifatkan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan Perjanjian Penarikan Diri 1974.
OIC juga menyambut baik penamatan permusuhan di Lubnan serta mengulangi sokongan terhadap kedaulatan negara itu, selain mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap anggota serta premis Pasukan Pengaman PBB di Lubnan (UNIFIL).
Dalam kapasiti negaranya, Yildiz memberi amaran tindakan berterusan Israel yang mengabaikan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, serta ketiadaan tindakan terhadap pelanggaran tersebut, perlu ditangani segera oleh Majlis Keselamatan.
Beliau menegaskan peningkatan ketegangan di rantau itu, termasuk perkembangan melibatkan Iran, membawa risiko besar kepada keamanan dan kestabilan ekonomi global, yang boleh menjejaskan perdagangan antarabangsa, tenaga serta keselamatan makanan dunia.- ANADOLU










