PARIS: Jurulatih Liverpool, Arne Slot menegaskan pasukannya tidak akan mudah mengalah walaupun berdepan tekanan hebat menjelang aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain di Parc des Princes, awal pagi esok.
Menurut Slot, kekalahan memalukan 0-4 kepada Manchester City dalam saingan Piala FA baru-baru ini tidak mematahkan semangat anak buahnya, sebaliknya menjadi pemangkin untuk bangkit semula.
“Saya tidak melihat pemain berputus asa namun, reaksi tegas daripada kapten Virgil van Dijk selepas perlawanan itu adalah sesuatu yang positif,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Liverpool kini hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir dan menghuni tangga kelima liga, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peluang mereka untuk kembali ke pentas elit Eropah musim depan.
Dalam pada itu, Slot mengakui pertemuan menentang juara Eropah itu bukan tugas mudah, apatah lagi PSG berada pada prestasi terbaik selepas mempamerkan aksi konsisten musim ini.
“Ini satu cabaran besar, tetapi juga peluang kedua buat kami. Dalam bola sepak, peluang seperti ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.
Liverpool turut menerima suntikan moral apabila penyerang Alexander Isak kembali menyertai skuad selepas pulih daripada kecederaan serius yang dialami sejak Disember lalu ketika menentang Tottenham Hotspur.
Bagaimanapun, Slot memberi bayangan pemain Sweden itu tidak akan diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Dia sudah menjalani hampir seminggu latihan bersama pasukan. Kami yakin dia boleh membantu, tetapi bukan untuk terus diturunkan dari awal,” katanya.
Mengulas kekuatan lawan, Slot tidak lokek memuji sentuhan pengendali PSG, Luis Enrique yang disifatkan berjaya membentuk pasukan hampir sempurna.
“PSG musim lalu sudah cukup hebat dan musim ini mereka terus meningkat. Perbezaannya sangat kecil, tetapi cukup untuk menentukan kemenangan,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Liverpool, Florian Wirtz menegaskan The Reds masih menaruh kepercayaan penuh terhadap Slot walaupun keputusan semasa tidak memihak kepada mereka.
“Kami percaya kepada jurulatih. Masih banyak yang boleh diperjuangkan musim ini dan kami mahu bangkit,” katanya. – AFP










