KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan status selaku gergasi bola sepak tempatan apabila mempamerkan aksi cukup dominan untuk membelasah Kuala Lumpur City (KL City) FC 4-0 dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Kemenangan besar itu meletakkan skuad Harimau Selatan sebelah kaki di pentas final, sekali gus memberi tekanan maksimum buat KL City menjelang aksi timbal balik.
Seawal minit kelima, JDT sudah ‘menghantar isyarat’ apabila Bergson Da Silva tenang menyudahkan hantaran kemas Afiq Fazail untuk membuka tirai jaringan.
Tersentak dengan gol awal itu, KL City cuba bangkit, namun percubaan jarak jauh Kamal Azizi sekadar menjadi ‘angin lalu’ tanpa menguji benteng pelawat.
JDT terus mengganas dan menggandakan kelebihan pada minit ke-31 menerusi sepakan percuma lencong Ager Aketxe yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Quincy Kammeraad.
Memasuki babak kedua, KL City cuba menyusun semula rentak, namun segala usaha mereka buntu di hadapan kekebalan benteng JDT.
Sebaliknya, Oscar Arribas menambah derita tuan rumah apabila meledak gol ketiga pada minit ke-59 hasil gerakan tersusun jentera serangan pelawat.
Walaupun melakukan beberapa pertukaran bagi menghidupkan kembali peluang, KL City tetap gagal menembusi pertahanan ampuh JDT.
Nacho Mendez kemudian melengkapkan malam gemilang Harimau Selatan dengan jaringan keempat pada penghujung permainan, sekali gus menutup terus ruang kebangkitan tuan rumah.
Keputusan 4-0 itu meletakkan JDT di landasan terbaik untuk mara ke final, manakala KL City kini berdepan misi hampir mustahil menjelang pertemuan kedua di Stadium Sultan Ibrahim, 7 April ini.
Jika momentum ini dikekalkan, tidak mustahil JDT sekali lagi mengukir sejarah menjulang trofi berprestij itu.-UTUSAN










