Indonesia laksana dasar WFH setiap Jumaat tangani krisis tenaga

Indonesia laksana dasar WFH setiap Jumaat tangani krisis tenaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerajaan Indonesia secara rasmi mengumumkan pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (WFH) setiap hari Jumaat, dalam langkah yang dijangka mampu menjimatkan perbelanjaan bahan api rakyat sebanyak 59 trilion rupiah (RM14 bilion).

Dasar itu dilihat sebagai langkah kerajaan untuk menangani krisis tenaga akibat perang di Iran.

Ketua Menteri Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, buat masa ini, dasar bekerja dari rumah hanya terpakai kepada penjawat awam, manakala Kementerian Tenaga Kerja dijangka akan merangka peraturan khas bagi kakitangan sektor swasta.

“Peraturan bekerja dari rumah untuk pekerja sektor swasta masih mengambil kira ciri-ciri dan keperluan setiap perniagaan,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Kerajaan turut dijangka dapat menjimatkan 6.2 trilion rupiah (RM1.47 bilion) bagi perbelanjaan pampasan bahan api apabila lebih ramai rakyat berada di rumah dan penggunaan tenag di pejabat berkurangan.

Dana itu sebelum ini disalurkan kepada syarikat tenaga Pertamina bagi mengimbangi kerugian kewangan akibat dasar berkaitan harga.

Dasar bekerja dari rumah tidak akan terpakai kepada pekerja dalam perkhidmatan awam seperti kesihatan dan keselamatan.

Mereka yang bekerja dalam bidang strategik seperti tenaga, pengeluaran, pengangkutan, logistik dan kewangan akan tetap bekerja seperti biasa.

Airlangga berkata, dasar itu akan bermula pada 10 April, memandangkan Jumaat pertama pada 3 April merupakan cuti umum untuk penganut Kristian di negara itu.

“Orang hanya bekerja separuh hari pada Jumaat, berbeza dengan hari biasa. Tetapi perkhidmatan awam tetap beroperasi, begitu juga aktiviti produktif, termasuk pasaran modal dan perkhidmatan perbankan,” katanya menjelaskan sebab pemilihan hari Jumaat untuk pelaksanaan bekerja dari rumah.

Kataya, kerajaan juga akan menyemak dasar tersebut seminggu sekali setiap dua bulan bagi memastikan keberkesanannya.

Perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran mencetuskan krisis tenaga apabila Teheran menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas. Laluan air strategik itu menyaksikan 25 peratus perdagangan minyak global melalui laut.

Penutupan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Indonesia apabila dua kapal tangki milik gergasi tenaga negara, Pertamina, tidak dapat melalui selat tersebut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN