LIVERPOOL: Kapten Scotland, Andy Robertson bakal menamatkan karier sembilan tahunnya bersama Liverpool pada penghujung musim ini.
Robertson sudah membuat 373 penampilan bersama The Reds, memenangi dua gelaran EPL dan Liga Juara-Juara sebagai tonggak penting dalam skuad kendalian Jurgen Klopp ketika itu.
Namun, kedudukannya semakin terpinggir musim ini selepas kehadiran Milos Kerkez dan kontraknya yang tamat hujung musim tidak akan disambung.
Pemain berusia 32 tahun itu menjadi pemain berprofil tinggi kedua yang akan meninggalkan Liverpool selepas Mohamed Salah turut mengumumkan akan berpisah pada akhir musim.
“Saya akan sentiasa mengimbau kenangan indah di kelab ini. Saya sudah memberikan sepenuh hati dan jiwa selama sembilan tahun dan saya tidak berasa menyesal.
“Saya berkembang sebagai seorang lelaki dan individu. Kelab ini sentiasa bermakna buat saya, begitu juga para penyokong. Ia satu perjalanan yang luar biasa,” kata Robertson.
Kurang setahun selepas menjulang gelaran liga, Liverpool melalui musim yang mengecewakan, termasuk tragedi di luar padang apabila rakan rapat Robertson, Diogo Jota meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada Julai tahun lalu.
Di atas padang, pengurus, Arne Slot masih bergelut mencari keserasian terbaik dalam skuad mahal yang kini berada di tangga kelima EPL.
Liverpool turut tersingkir daripada Piala FA selepas dibelasah 0-4 oleh Manchester City hujung minggu lalu, selain tewas 0-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara, Rabu lalu.- AGENSI










