Fury cabar Joshua 'bertumbuk' dalam gelanggang

Fury cabar Joshua ‘bertumbuk’ dalam gelanggang

Tyson Fury dari Britain (merah) bakal membuat penampilan semula di Stadium Tottenham Hotspur, Sabtu ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bekas juara dunia heavyweight, Tyson Fury memberi bayangan mahu merealisasikan pertarungan impian menentang rakan senegara, Anthony Joshua sekiranya berjaya dalam aksi kemunculan semulanya hujung minggu ini.

Petinju berusia 37 tahun itu kembali daripada persaraan buat kali kelima dan dijadual berdepan Arslanbek Makhmudov di Stadium Tottenham Hotspur, Sabtu ini.

Fury bagaimanapun menegaskan fokus utamanya tetap kepada Makhmudov, namun tidak menolak pertembungan besar dengan Joshua sebagai sasaran seterusnya.

“Saya ada Arslanbek Makhmudov untuk difikirkan pada malam Sabtu ini, tetapi jika semuanya berjalan lancar, (Joshua) adalah lawan yang saya mahu seterusnya.

“Saya tahu dia baru sahaja bertarung dengan Jake Paul, apa pun… pertarungan tetap pertarungan, jadi ya, saya akan bersedia untuk itu sejurus selepas ini,” katanya.

Joshua, 36, sebelum ini mencuri perhatian apabila menumbangkan Jake Paul dengan knockout pusingan keenam di Miami pada Disember lalu, sebelum melalui detik sukar akibat kemalangan jalan raya di Nigeria yang meragut dua sahabat rapatnya.

Dalam perkembangan sama, bekas juara dunia WBC dari Amerika Syarikat (AS), Deontay Wilder turut mencabar Joshua selepas menewaskan Derek Chisora menerusi keputusan split minggu lalu.

Namun Fury dilihat tidak berminat dengan kemungkinan itu sambil menyifatkan aksi Wilder menentang Chisora sebagai hambar dan tidak mencapai standard pertarungan elit heavyweight. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN