LONDON: Format kelayakan Piala Dunia sekali lagi menjadi perdebatan selepas Sweden berjaya mara ke pusingan akhir walaupun menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan.
Skuad kendalian Graham Potter mengesahkan tiket ke Piala Dunia selepas menewaskan Poland hasil jaringan lewat Viktor Gyokeres, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai keadilan sistem sedia ada.
“Kami mungkin tidak sempurna, tetapi siapa peduli? Kami telah berjaya ke Piala Dunia,” kata Potter selepas perlawanan.
Hakikatnya, Sweden hanya mengutip dua mata daripada enam perlawanan kelayakan tewas empat kali dan seri dua kali menyaksikan mereka menamatkan kempen di kedudukan tercorot.
Namun begitu, peluang kedua buat Sweden hadir menerusi saingan Liga Negara-Negara apabila pasukan itu layak ke playoff hasil kedudukan sebagai antara juara kumpulan terbaik yang gagal mara secara automatik.
Beberapa keputusan lain turut memihak kepada mereka apabila pasukan seperti Sepanyol, Jerman, Portugal, Perancis, England dan Norway sudah pun layak, manakala Wales dan Republik Czech berada di playoff, situasi tersebut membuka laluan kepada Sweden untuk mencuri peluang.
Begitupun, persoalan besar timbul apabila pasukan seperti Kosovo yang mengumpul 11 mata dalam kumpulan sama, termasuk menewaskan Sweden dua kali, gagal layak selepas tewas di playoff.
Keadaan itu mencetuskan kritikan terhadap sistem kelayakan, dengan ada yang mempersoalkan kepentingan sebenar kempen kelayakan jika laluan alternatif seperti Liga Negara-Negara memberi kelebihan.
Bekas pemain dan jurulatih Itali, Gennaro Gattuso pernah mengkritik sistem itu dengan menyifatkan perubahan format memberi kesan kepada peluang pasukan Eropah.
Beliau membandingkan dengan zon lain seperti Amerika Selatan yang memberikan lebih banyak slot automatik dan ia menyukarkan laluan pasukan Eropah untuk layak.
Segelintir penyokong turut menyifatkan kelayakan Sweden sebagai sesuatu yang mengecewakan dan tidak adil.
Untuk rekod, edisi Piala Dunia 2026 menjadi saingan yang pertama menampilkan 48 pasukan, perubahan format dilihat masih dalam fasa penyesuaian dan berkemungkinan diperhalusi pada masa akan datang.– AGENSI










