ALOR SETAR: Kesan pelaburan langsung asing (FDI) yang diterima Kedah di kawasan industri berteknologi tinggi sewajarnya turut dinikmati oleh usahawan tempatan khususnya pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Zuhaizar Abdul Karim berkata, kemasukan pelaburan berteknologi tinggi di kawasan seperti Kulim Hi-Tech Park, Padang Meiha dan Bukit Kayu Hitam memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi negeri.
Namun ujar beliau, masih terdapat ruang yang boleh dipertingkatkan bagi memastikan kesan limpahan daripada pelaburan tersebut turut dirasai secara lebih meluas oleh pemain industri tempatan.
“Bagi usahawan PKS, bukan mudah untuk kita menembusi syarikat multinasional. Jadi, kita cadangkan agar kerajaan negeri dapat mewujudkan program pembangunan vendor, khusus untuk syarikat-syarikat berteknologi tinggi. Program ini boleh merangkumi vendor Bumiputera serta industri-industri berkaitan.
“Memang sebagai usahawan, kita perlu berusaha sendiri untuk mendekati syarikat-syarikat ini. Namun, usaha secara individu sering berdepan pelbagai kekangan. Jika kerajaan negeri dapat sedia platform seperti itu, ia akan memudahkan akses dan membuka lebih banyak peluang,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-52 DPMM Kedah hari ini.
Katanya, kewujudan satu mekanisme atau sistem yang lebih tersusun akan mudah untuk menghubungkan antara usahawan tempatan dengan syarikat-syarikat pelabur.
“Dengan adanya platform seperti ini, usahawan tempatan akan mempunyai laluan yang lebih jelas dan tersusun untuk terlibat dalam rantaian industri yang diwujudkan hasil pelaburan tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, inisiatif itu bukan sahaja berpotensi meningkatkan daya saing IKS, malah membantu mengukuhkan ekosistem ekonomi negeri secara keseluruhan, selain dilihat mampu memastikan manfaat pelaburan dapat diagihkan secara lebih inklusif yang sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri.
Sementara itu, isu ketiadaan subsidi diesel kepada usahawan kecil khususnya dalam sektor pertanian terus menjadi kebimbangan apabila golongan itu dilihat semakin terhimpit dengan peningkatan kos operasi.
Zuhaizar berkata, perkara itu turut dibangkitkan ahli dalam AGM berkenaan yang menyuarakan kesukaran dihadapi pengusaha pertanian yang tidak menerima sebarang subsidi bahan api walaupun bergantung sepenuhnya kepada diesel dalam operasi harian.
“Apabila kos diesel naik, kos pengangkutan turut meningkat. Ini secara langsung akan menaikkan harga produk dan akhirnya pengguna terpaksa tanggung beban. Jika tiada campur tangan, usahawan tiada pilihan selain menaikkan harga jualan yang akan memberi kesan rantaian kepada pengguna,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan satu lagi mekanisme khusus perlu diwujudkan bagi membantu usahawan kecil agar tidak terus terbeban dengan peningkatan kos operasi. – UTUSAN










