Bekas pengarah FBI didakwa ugut bunuh Trump

Bekas pengarah FBI didakwa ugut bunuh Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bekas pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), James Comey, didakwa sekali lagi atas tuduhan mengancam nyawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, susulan hantaran gambar kulit kerang di media sosial yang memaparkan nombor ’86 47′.

Pertuduhan yang difailkan oleh juri agung di Carolina Utara itu berkaitan gambar yang dimuat naik Comey di Instagram pada Mei tahun lalu, yang menunjukkan nombor berkenaan disusun menggunakan kulit kerang di pantai.

Trump sebelum ini mendakwa angka ’86’ membawa maksud slanga untuk membunuh, manakala ’47’ merujuk kepada kedudukannya sebagai presiden AS ke-47.

Comey bagaimanapun menolak dakwaan itu dan berikrar untuk melawan pertuduhan tersebut, sambil menyifatkannya sebagai tindakan bermotifkan politik.

Ini merupakan kali kedua Jabatan Kehakiman AS mengambil tindakan undang-undang terhadap pengkritik lantang Trump itu selepas satu kes terdahulu digugurkan lima bulan lalu.

“Saya masih tidak bersalah, saya masih tidak takut dan saya masih percaya kepada kebebasan badan kehakiman persekutuan, jadi teruskan,” kata Comey.

Pertuduhan itu mendakwa rujukan ’86 47′ yang dipaparkan melalui susunan kulit kerang berkenaan merupakan ungkapan serius mengenai niat untuk mencederakan Presiden AS.

Pemangku Peguam Negara, Todd Blanche berkata, Comey berdepan satu pertuduhan kerana dengan sengaja membuat ancaman untuk mengambil nyawa serta mencederakan tubuh badan Presiden AS dan satu lagi pertuduhan berkaitan ancaman merentas negeri.

Setiap pertuduhan membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara.

“Saya berpendapat adil untuk mengatakan mengancam nyawa sesiapa sahaja adalah berbahaya dan berpotensi menjadi jenayah.

“Ancaman terhadap nyawa Presiden AS tidak akan sesekali boleh dikompromi oleh Jabatan Kehakiman,” kata Blanche.

Comey memohon maaf pada ketika itu berhubung hantaran Instagram tersebut dan berkata beliau ‘tidak menyedari sesetengah pihak mengaitkan nombor itu dengan keganasan’.

“Ia langsung tidak terlintas di fikiran saya, namun saya menentang keganasan dalam apa jua bentuk, jadi saya menurunkan hantaran itu,” katanya.

Pertuduhan terhadap Comey itu dibuat tiga hari selepas seorang lelaki bersenjata ditahan kerana didakwa cuba membunuh Presiden Trump ketika satu majlis makan malam di Washington yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Rumah Putih.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×