Bekas pemain boal sepak kebangsaan ‘sibuk’ jual harumanis

Bekas pemain boal sepak kebangsaan ‘sibuk’ jual harumanis

AZMIZI Azmi menunjukkan buah mempelam harumanis yang diusahakan bersama rakan di kebunnya di Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bekas pemain kebangsaan dan Perlis, Azmizi Azmi, 39, atau lebih dikenali sebagai Tibo kini bergiat secara aktif sebagai pengusaha buah mempelam harumanis selepas bersara dalam arena bola sepak.

Bekas pemain pertahanan itu kini mengusahakan 70 pokok mempelam harumanis di atas atas sebidang tanah kebun terletak di Sungai Batu Pahat, di sini, sejak beberapa tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Azmizi berkata, selepas bersara dari liga kompetatif, dia bersama rakannya memilih untuk mengusahakan kebun berkenaan secara serius bagi memenuhi tempahan pelanggan dari seluruh Malaysia.

“Semasa saya masih aktif bermain bola pun memang saya sudah ambil tempahan kecil-kecilan untuk pasarkan harumanis ini. Dan selepas bersara, saya ambil keputusan untuk terlibat secara aktif dalam bidang perniagaan ini,” katanya.

Azmizi berkata, sambutan yang diterima menerusi jualan buah itu pada tahun ini juga memberangsangkan apabila dia telah berjaya memasarkan sebanyak kira-kira satu tan harumanis setakat ini.

Katanya, dia bersama rakan juga memasarkan buah harumanis tersebut mengikut gred dan berat yang memuaskan kepada pengguna.

“Kami hanya jual buah gred premium, A dan B sahaja, manakala buah gred C kami pilih untuk tidak pasarkan bagi menjaga kualiti kepada pelanggan.

“Buah yang ditempah itu juga akan dipos ke seluruh Malaysia mengikut permintaan daripada pelanggan kami,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terkini, Azmizi berkata, selepas bersara dari kancah bola sepak, dia terlibat secara aktif dalam bidang kejurulatihan bersama Akademi Seventeen.

Katanya, dia juga ada menerima pelawaan bagi menyertai beberapa pasukan sebelum ini namun dia terpaksa menolak berikutan bimbang dengan isu tunggakan gaji.

“Jadi saya lebih fokus dalam bidang kejurulatihan buat masa ini bersama akademi berkenaan di samping turut menguruskan perusahaan harumanis ini,” katanya.

Sebagai rekod, Azmizi memulakan kariernya dalam pasukan remaja Perlis sebelum mendapat peluang beraksi bersama skuad senior pada 2007.

Beliau turut beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2007 bersama Perlis dan kemudian menjadi kapten pasukan sehingga musim liga 2011.

Selain Perlis dan Kedah, Azmizi juga pernah beraksi bersama pasukan Felda United (2013), Perak (2015) dan PKNS (2017-2018).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN