LONDON: Leicester City kini berada diambang penyingkiran untuk turun ke liga divisyen ketiga bola sepak England selepas rayuan The Foxes terhadap pemotongan enam mata kerana melanggar peraturan kewangan ditolak.
Sedekad selepas mencipta kejayaan mengejut dengan menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester kini berada di tangga ketiga tercorot dalam Kejuaraan EFL, ketinggalan satu mata daripada zon selamat dengan hanya lima perlawanan berbaki.
“Dengan isu ini sudah selesai dan masih ada lima perlawanan musim ini, semua di kelab ini kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan yang ada di hadapan dan bagaimana untuk menentukan nasib musim ini melalui keputusan di atas padang.
“Tanggungjawab kini adalah memastikan baki perlawanan ini dihadapi dengan fokus dan kesungguhan seperti yang diperlukan dalam situasi semasa,” kata Leicester dalam kenyataan.
Leicester yang tersingkir daripada EPL musim lalu, kini berdepan risiko untuk jatuh ke Liga Satu EFL selepas hanya mencatat satu kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.
Sebuah komisen bebas pada Februari lalu mendapati kelab itu melanggar peraturan keuntungan dan kelestarian bagi tempoh tiga tahun hingga musim 2023/24, sewaktu mereka kembali ke Liga Kejuaraan, dengan lebihan hampir 21 juta pound (RM111.9 juta).
Dalam tempoh tiga musim dari 2021/22 hingga 2023/24, kelab itu mencatat kerugian melebihi 200 juta pound (RM1.06 bilion).
“Keputusan komisen bebas untuk mencadangkan potongan enam mata terhadap Leicester City musim ini sudah disahkan oleh panel rayuan bebas,” kata Liga Perdana dalam kenyataan.
Pada musim 2015/16, Leicester mengejutkan dunia bola sepak dengan menjuarai EPL, malah mereka turut memenangi Piala FA buat kali pertama pada 2021, namun tersingkir pada 2023 sebelum kembali naik ke EPL di bawah kendalian Enzo Maresca.
Namun mereka kembali tersingkir musim lalu selepas hanya mencatat enam kemenangan daripada 38 perlawanan.-AGENSI










