LONDON: Pelumba Mercedes, Kimi Antonelli menegaskan dia tidak berasa tertekan mahupun bimbang dengan kemungkinan berdepan saingan daripada rakan sepasukan, George Russell dalam perebutan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim 2026.
Sebaliknya, Antonelli memilih untuk terus memberi fokus sepenuhnya terhadap peningkatan prestasi diri tanpa memikirkan persaingan dalaman yang berpotensi berlaku.
Antonelli ketika ini mendahului kedudukan kejuaraan pemandu dengan kelebihan sembilan mata ke atas Russell susulan kemenangan di Grand Prix (GP) Jepun, sekali gus mencipta sejarah sebagai pendahulu termuda dalam kejuaraan tersebut, memadam rekod lama milik Lewis Hamilton sejak 2007.
Menurut Antonelli, keutamaannya adalah untuk memperkemaskan setiap aspek perlumbaan termasuk prosedur, permulaan dan pemanduan bagi memastikan konsistensi sepanjang musim.
“Sebenarnya, saya tidak bimbang tentang perkara itu. Saya hanya akan fokus pada diri sendiri, pada apa yang perlu saya lakukan, cuba lakukan segala-galanya dengan betul dari segi prosedur, permulaan dan pemanduan.
“Saya tahu betapa kuatnya George dan sudah tentu ia akan menjadi sangat sukar. Tambahan pula, saya fikir Ferrari dan McLaren akan semakin menghampiri, jadi penting untuk kekal di tahap tertinggi, seperti yang saya katakan sebelum ini, terus meningkatkan prestasi.
“Tetapi saya tidak fokus atau bimbang tentang perkara ini buat masa sekarang. Saya hanya akan cuba memanfaatkan masa rehat ini sebaik mungkin dan melihat bagaimana saya boleh memperbaiki aspek-aspek tersebut supaya dapat kembali dengan lebih kuat,” katanya. – AGENSI










