PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terkandas lagi di pusingan awal, tetapi, kali ini dia gagal di peringkat kelayakan pada Kejohanan Badminton Orleans Masters di Orleans, Perancis, malam tadi (waktu Malaysia).
Jika pada Terbuka Switzerland, minggu lalu, bekas bintang No. 2 dunia itu tersingkir di peringkat 32 terbaik, tetapi, di Orleans, Zii Jia tidak sempat mara ke undian utama.
Dalam kelayakan pertama, pemain yang kini menghuni ranking No. 86 dunia, berjaya membenam wakil India, S. Subramanian yang berada di tangga ke-79 dunia 21-12, 21-18 dalam masa 33 minit.
Kemenangan itu menemukan Zii Jia dengan pemain No. 74 dunia, Dong Tian Yao bagi merebut tempat ke undian utama, namun, perjuangan anak jati Kedah itu disekat lawan dari China tersebut 18-21, 14-21 dalam masa 36 minit.
Percubaan Zii Jia untuk memperbaiki prestasinya pada kejohanan berstatus Super 300 tidak membuahkan hasil, apabila dia masih bergelut dengan kemerosotan yang belum dapat diperbaikinya.
Isu kecergasan Zii Jia kini meninggalkan satu persoalan besar, sama ada dia benar-benar bersedia untuk kembali bersaing di pentas kompetitif, setelah menyaksikan kegagalannya pada dua kejohanan Super 300.
Sementara itu, dua beregu muda Malaysia, Kang Khai Xing-Aaron Tai dan Ong Xin Yee-Carmen Ting berjaya melepasi halangan masing-masing di peringkat 32 terbaik, awal pagi tadi.
Gandingan No. 26 dunia, Khai Xing-Aaron menewaskan beregu ke-60 dunia, Rodion Alimov-Maksim Ogloblin dari Rusia 21-11, 21-17 dalam masa 26 minit.
Kejayaan yang diukir beregu berusia 19 tahun itu menyaksikan mereka kini mencatat dua kemenangan tanpa berbalas ke atas Alimov-Ogloblin.
Pada pusingan kedua, esok, Khai Xing-Aaron akan menghitung pertemuan dengan beregu Denmark, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer.
Rakan seperjuangan mereka dalam acara beregu wanita pula, Xin Yee-Carmen turut tidak berdepan sebarang masalah mengetepikan pasangan ke-152 dunia, Emmy Guilbard-Anouk Nambot dari Perancis 21-7, 21-10 dalam masa 26 minit.
Xin Yee-Carmen kini mendahului Guilbard-Nambot dengan rekod pertemuan 1-0 dan beregu yang juga berusia 19 tahun itu akan berdepan pencabar dari Amerika Syarikat, Lauren Lam-Allison Quynh Lee di peringkat 16 terbaik. – UTUSAN










