Zamri nikahkan pasangan, bukan lari ke Thailand - Peguam - Utusan Malaysia

Zamri nikahkan pasangan, bukan lari ke Thailand – Peguam

SIDANG media Pendakwah bebas, Zamri Vinoth mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur di sini, hari ini atas tuduhan mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kegentaran awam, bulan lalu. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penceramah bebas, Zamri Vinoth tidak pernah berniat melarikan diri ke luar negara sebaliknya tujuan dirinya ke Thailand pada 9 Mac lalu, adalah atas urusan perniagaan termasuk menikahkan pasangan.

Peguam bela, Muhammad Hariz Md Yusof yang mewakili Zamri berkata, anak guamnya kemudian memasuki negara ini semula pada 12 Mac lalu, empat hari selepas berada di luar negara.

Beliau menjelaskan ia bukanlah kali pertama anak guamnya ke Thailand sebaliknya kerap keluar masuk sejak sembilan tahun lalu.

“Anak guam tidak pernah menerima sebarang notis yang memerlukannya hadir ke balai polis untuk memberi keterangan atau dikehendaki bagi menghadapi pertuduhan sehingga dia dilarang ke luar negara.

“Dia juga terlibat dalam menguruskan pernikahan pasangan yang mahu melangsungkan perkahwinan di luar negara. Ia merupakan kerjasama baik antara dirinya dengan Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Muhammad Hariz berkata, perjalanan aktivis berusia 42 tahun itu ke Thailand juga adalah mengikut saluran yang sah menggunakan pasport dan pas sempadan.

“Tiada sebarang indikasi (petunjuk) menunjukkan anak guam mahu melarikan diri bagi mengelak daripada menghadapi pertuduhan terhadapnya,” katanya.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan dua individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes berkaitan ketenteraman awam dan sensitiviti agama yang dipercayai telah melarikan diri ke Thailand.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, hasil risikan mendapati kedua-dua suspek iaitu Zamri Vinoth dan Tamim Dahri telah meninggalkan negara.

Zamri pula menafikan dakwaan kononnya dia melarikan diri ke Thailand selepas dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes berkaitan ketenteraman awam dan sensitiviti agama.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret sebentar tadi, Zamri Vinoth atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.

Mengikut pertuduhan, Zamri didakwa telah membuat kenyataan di akaun Facebook miliknya ‘Zamri Vinoth’ yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Zamri mengeluarkan kenyataan itu pada pukul 12.22 tengahari pada 3 Februari lalu yang kemudian kenyataan tersebut telah dilihat dan didengar oleh seorang lelaki yang berusia 45 tahun di sebuah restoran di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN