KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik menegaskan dia tidak pernah terlintas untuk meninggalkan pasangannya, Aaron Chia mahupun keluar daripada naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sekali gus menepis spekulasi yang tercetus di media sosial.
Menurut Wooi Yik, keserasian bersama Aaron serta komitmen terhadap BAM kekal menjadi keutamaan dalam perancangannya ketika ini.
Kontroversi berkenaan timbul selepas pemain berusia 28 tahun itu menukar bio Instagram miliknya kepada ‘Pro Badminton Player’, yang mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan peminat.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan perubahan tersebut tidak membawa sebarang maksud untuk bergerak secara profesional di luar BAM, sebaliknya sekadar mencerminkan profesionalisme dirinya sebagai atlet.
“Saya rasa saya tak ada apa nak jawab. Media sosial itu benda peribadi saya dan saya tak ada berniat apa-apa. Saya buat apa yang saya rasa untuk diri saya.
“Tak ada niat (mahu tinggalkan BAM dan Aaron),” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Untuk rekod, gandingan Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking nombor dua dunia masih mempunyai kontrak bersama BAM sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.










