CARACAS: Pemimpin sementara Venezuela, Delcy Rodriguez, menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik balik sepenuhnya sekatan yang dikenakan ke atas negara itu ketika kedua-dua pihak mula memulihkan hubungan diplomatik.
Beliau berkata, sekatan unilateral terhadap rakyat Venezuela turut menjejaskan penduduk di seluruh Amerika Latin.
“Langkah itu menjejaskan ekonomi Colombia, ekonomi Venezuela dan rakyat kami,” katanya ketika pertemuan dengan delegasi Colombia di Caracas kelmarin.
Perbincangan di Caracas itu bertujuan meredakan ketegangan antara dua negara jiran Amerika Selatan berkenaan, dengan Rodriguez turut berusaha mengekang kumpulan pemberontak Colombia daripada menyeberang sempadan.
Pentadbiran Presiden Donald Trump juga mendesak kedua-dua pihak supaya menangani kumpulan bersenjata yang beroperasi di kawasan sempadan, termasuk kumpulan gerila berhaluan kiri, Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN), yang terlibat dalam perdagangan dadah.
“Ini masalah yang kami hadapi sebagai negara jiran dan kami bertekad untuk membuat kemajuan bersama,” kata Rodríguez.
Pegawai AS dilaporkan berusaha mendapatkan akses lebih luas kepada sumber minyak dan mineral Venezuela selepas operasi ketenteraan Washington menggulingkan pemimpin berhaluan kiri, Nicolas Maduro, pada 3 Januari lalu.
Perbendaharaan AS mula mengenakan sekatan terhadap Venezuela pada 2014, yang menjejaskan ekonomi negara itu sehingga kadar inflasi melonjak kepada 475 peratus tahun lalu.
Infrastruktur minyak negara itu juga terjejas akibat kekurangan pelaburan selama bertahun-tahun, menyebabkan Venezuela kini hanya menghasilkan beberapa juta tong minyak sehari walaupun memiliki rizab terbesar dunia.
Bagaimanapun sejak Januari, AS melonggarkan embargo minyak yang berkuat kuasa selama tujuh tahun terhadap Venezuela dan mengeluarkan lesen kepada beberapa syarikat multinasional untuk beroperasi di negara itu dengan syarat tertentu.- AFP










