KUALA KRAI: Pembinaan Jambatan Wan Jamilah menggantikan jambatan gantung yang runtuh sebelum ini disifatkan sebagai ‘hadiah’ Aidilfitri paling bermakna buat penduduk Kampung Chatel Damaim di sini selepas bertahun-tahun berdepan kesukaran untuk berulang-alik.
Jambatan baharu sepanjang 36 meter itu kini boleh dilalui kenderaan seberat bawah lima tan metrik sekali gus memudahkan urusan harian penduduk, khususnya pemilik kebun untuk mengangkut hasil pertanian keluar dari kampung.
Wakil penduduk, Wan Syukri Wan Isa, 53, berkata, pembinaan jambatan tersebut membawa kelegaan besar kepada masyarakat setempat selepas sekian lama terpaksa menggunakan jambatan gantung yang uzur dan berisiko.
Katanya, penduduk sangat bersyukur apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan pembinaan jambatan baharu itu selepas kejadian runtuhan jambatan lama.
“Sudah lama kami idamkan jambatan baharu. Saya juga tidak menyangka peristiwa jambatan gantung runtuh ketika majlis pernikahan anak saya akhirnya membawa rezeki kepada seluruh penduduk kampung apabila kerajaan meluluskan pembinaan jambatan baharu.
“Alhamdulillah, sekarang kereta sudah boleh melalui jambatan ini. Terima kasih Perdana Menteri kerana cakna dan prihatin terhadap nasib penduduk di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dan penyerahan jambatan tersebut yang disempurnakan oleh Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan, Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.
TYang hadir sama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Wan Muhd. Rahimi Wan Salleh dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Dr. Siti Fairus Zakaria.
Wan Syukri berkata, kewujudan jambatan baharu itu juga membolehkan anak-anak serta cucu yang pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman berasa lebih selamat dan selesa tanpa perlu melalui jambatan gantung yang berbahaya.
Katanya, Jambatan Wan Jamilah itu turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan termasuk penghadang besi di kedua-dua sisi serta lampu jalan bagi memastikan keselamatan pengguna terutama pada waktu malam.
Sementara itu, Wan Nur Ibtisam berkata, pembinaan jambatan keluli berkenaan menoktahkan rintihan penduduk yang berdepan masalah perhubungan sejak lebih tiga dekad lalu.
Katanya, ia mampu memberi manfaat kepada lebih 50 penduduk melibatkan tujuh buah rumah selain menjadi laluan utama ke kebun bagi penduduk setempat.
“Pembinaan jambatan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan infrastruktur berkualiti terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Utusan Malaysia 8 Mac lalu melaporkan, jambatan gantung di Kampung Chatel Damai yang runtuh semasa majlis kenduri awal Januari lalu kini digantikan dengan sebuah jambatan baharu yang dinamakan Jambatan Wan Jamilah.
Nama tersebut diambil sempena pengantin perempuan, Wan Jamilah Wan Syukri selepas majlis perkahwinannya bertukar detik mencemaskan apabila titi gantung berusia 24 tahun yang merentangi Sungai Chatel Damai runtuh. – UTUSAN










