MANCHESTER: Manchester United sedia melakar kebangkitan ketika menerima kunjungan Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, malam ini.
Pengurus sementara United, Michael Carrick berkata, barisan pemain sudah bersedia sepenuhnya dan dia juga sudah merangka strategi terbaik untuk mengutip tiga mata penuh.
United mengalami kekalahan pertama di bawah kendalian Carrick minggu lalu selepas Newcastle United meraih kemenangan dramatik menerusi jaringan lewat permainan.
Menurut Carrick, para pemain tidak sabar untuk kembali beraksi selepas mereka tumpas kepala Newcastle selepas melakar kebangkitan dalam kempen musim ini.
“Saya faham kekalahan pertama terasa berbeza, tetapi ia memang akan berlaku pada satu ketika.
“Kebanyakan pasukan mengalaminya juga. Walaupun kecewa dengan cara perlawanan menentang Newcastle berakhir, kami sudah menelitinya dan belajar daripadanya,” kata Carrick.
Tambahnya, sesi latihan sepanjang minggu ini berjalan dengan baik dan para pemain kini kembali bersemangat untuk memburu kemenangan.
Kekalahan tersebut hadir secara dramatik apabila Newcastle United yang beraksi dengan 10 pemain mengejutkan United menerusi gol kemenangan minit ke-90 oleh William Osula.
Carrick yang mengambil alih pasukan daripada Ruben Amorim pada Januari lalu berjaya memacu United kembali bersaing di kelompok atasan liga.
Ketika ini, United menghuni tangga ketiga liga dan berpeluang mengukuhkan kedudukan dalam perebutan tiket ke Liga Juara-Juara Eropah apabila berdepan Villa yang berada di tempat keempat.- AGENSI









