MOSCOW: Ukraine melancarkan lebih 280 dron ke arah Russia pada Jumaat, dalam satu daripada serangan terbesar Kyiv sejak permulaan perang.
Kira-kira 90 dron berjaya dipintas di wilayah selatan Rostov, menurut gabenornya, Yuri Slyusar, menerusi Telegram.
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, dalam beberapa hantaran melaporkan 27 dron yang menuju ke ibu negara dipintas.
Dua orang cedera dalam serangan dron yang merosakkan beberapa rumah di wilayah barat daya Saratov, kata gabenor Roman Busargin di Telegram.
Agensi berita rasmi Tass melaporkan, sejumlah 283 dron dipintas, menurut Kementerian Pertahanan Rusia.
Sebagai tindak balas terhadap serangan Russia yang menyasarkan wilayahnya hampir setiap hari sejak 2022, Kyiv secara berkala menyerang dalam wilayah Russia, dengan sasaran utama infrastruktur ketenteraan dan tenaga.
Perunding Ukraine dan AS dijadualkan bertemu di AS pada Sabtu, menurut Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, bagi usaha menyambung semula rundingan yang tergendala untuk menamatkan perang empat tahun.
Zelensky berkata pada Jumaat perunding Kyiv akan mendapatkan kepastian daripada pegawai AS mengenai pusingan seterusnya rundingan tiga hala dengan Russia, yang ditangguhkan akibat perang di Timur Tengah yang bermula lewat bulan lalu.- AFP










