Tunku Ismail gesa kemuka bukti, henti spekulasi

Tunku Ismail gesa kemuka bukti, henti spekulasi

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak yang memiliki maklumat berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain diminta tampil mengemukakan bukti sahih dan menyalurkannya kepada agensi penguatkuasa berkaitan bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara adil dan telus.

Gesaan berkenaan ditegaskan pemilik Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Tunku Mahkota Ismail berkata sebarang tuduhan berkaitan isu tersebut tidak wajar berlandaskan spekulasi semata-mata.

Baginda turut menegaskan bahawa usaha memperbaiki dan membersihkan ekosistem bola sepak negara perlu digerakkan melalui pendekatan berasaskan fakta, bukti kukuh serta proses perundangan yang sah.

“Inilah pentingnya kita menggunakan segala bukti dan fakta yang ada dan serahkan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang.

“Bukan setakat teori. Kumpul semua bukti yang ada beramai-ramai demi bola sepak tanah air,” katanya menerusi hantaran media sosial.

Isu berkenaan timbul susulan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang sebelum ini mengenakan penggantungan 12 bulan terhadap pihak terbabit berhubung dakwaan pemalsuan membabitkan tujuh pemain.

Hukuman itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan mengenai ketelusan proses serta pematuhan terhadap peraturan badan induk dunia berkenaan.

Bagaimanapun, perkembangan terkini menunjukkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan pelaksanaan hukuman FIFA sementara rayuan dan penelitian lanjut dibuat terhadap kes tersebut.

Penangguhan itu memberi ruang kepada pihak terlibat untuk mengemukakan hujah pembelaan di peringkat antarabangsa, sekali gus memastikan proses keadilan dapat dijalankan sepenuhnya.

Tunku Mahkota Ismail menegaskan pendekatan paling tepat dalam menangani isu sensitif itu adalah dengan mengumpulkan semua bukti berkaitan sebelum menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut mengikut lunas undang-undang.

Kenyataan tegas itu dilihat sebagai seruan supaya semua pihak menghentikan spekulasi tidak berasas, sebaliknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, demi memastikan isu ini diselesaikan secara telus dan profesional.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN