TM perkukuh komitmen terhadap sukan negara melalui kerjasama strategik dengan PSM

TM perkukuh komitmen terhadap sukan negara melalui kerjasama strategik dengan PSM

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris-IHSAN TM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komitmen Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam menyokong pembangunan sukan negara terus terserlah apabila syarikat telekomunikasi terkemuka itu tampil memainkan peranan aktif membantu memperkukuh ekosistem sukan Malaysia.

Penglibatan TM dalam arena sukan bukanlah sesuatu yang Baharu kerana sejak sekian lama, syarikat korporat itu telah menyumbang pelbagai inisiatif penting bagi memastikan industri sukan negara terus berkembang dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Terbaharu, TM menjalin kerjasama strategik bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerusi perjanjian hak penamaan selama tiga tahun membabitkan dua venue sukan utama negara iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil.

STADIUM Nasional Bukit Jalil kini dikenali sebagai TM Stadium Nasional.

Kerjasama tersebut menyaksikan kedua-dua venue berkenaan dijenamakan semula sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha memastikan kemudahan sukan negara terus berada pada tahap terbaik.

Sebagai syarikat telekomunikasi dan teknologi negara, TM melihat kerjasama ini sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menyumbang kepada perkembangan ekosistem sukan Malaysia, termasuk memperkukuh infrastruktur, meningkatkan pengalaman pengunjung serta menyokong penganjuran acara berskala besar di venue nasional.

Inisiatif itu bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial korporat, malah berperanan membantu Malaysia mengekalkan infrastruktur bertaraf antarabangsa yang mampu menarik pelbagai acara sukan, hiburan serta konsert berskala besar ke negara ini.

Selain memberi manfaat kepada sektor sukan, kerjasama berkenaan juga dilihat mampu merancakkan ekonomi negara menerusi peningkatan aktiviti pelancongan dan penganjuran acara bertaraf global yang berlangsung di venue ikonik tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, syarikat itu berbesar hati diberi kepercayaan untuk memegang hak penamaan bagi venue nasional yang cukup bersejarah itu.

Menurutnya, Stadium Nasional dan Stadium Putra sejak sekian lama menjadi tempat rakyat Malaysia berkumpul untuk memberi sokongan, meraikan kejayaan serta menyaksikan pelbagai detik bersejarah.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat terus memperkukuh kedua-dua stadium ini agar ia kekal menjadi tempat yang menyatukan masyarakat dan menyemarakkan kebanggaan negara untuk generasi akan datang,” katanya.

Stadium Putra kini dikenali sebagai Unifi Arena.

Dalam masa sama, kerjasama berkenaan turut memberi manfaat kepada PSM apabila hasil yang diperoleh dapat disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan sedia ada demi keselesaan pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil menegaskan pihaknya komited memastikan kedua-dua stadium berkenaan sentiasa berada pada tahap terbaik sebagai lokasi penganjuran acara sukan dan hiburan bertaraf dunia.

Menurutnya, kerjasama hak penamaan itu merupakan antara inisiatif penting PSM bagi memastikan kelestarian serta pembangunan jangka panjang venue berkenaan.

“Berkuatkuasa 6 Mac 2026, PSM menjenamakan semula Stadium Nasional dan Stadium Putra masing-masing sebagai TM Stadium Nasional dan Unifi Arena.

“Hasil daripada kerjasama ini akan disalurkan kepada usaha menaik taraf serta menambah baik kemudahan stadium bagi memberikan pengalaman yang lebih baik kepada para pengunjung,” katanya.

Selain kerjasama dengan PSM, badan korporat itu turut menjalin kerjasama bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia sebagai Rakan Rasmi Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan.

Kerjasama strategik sepaktakraw itu menyaksikan TM memainkan peranan penting dalam menyokong penyertaan skuad negara dalam beberapa kejohanan utama termasuk Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur, Sukan SEA 2025 di Bangkok serta Piala Dunia ISTAF 2026.

Amar Huzaimi Md Deris menegaskan sokongan tersebut mencerminkan komitmen berterusan TM dalam memperkasa pembangunan sukan tempatan serta melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negara.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong pembangunan sukan tempatan dan memupuk bakat negara. Sepak takraw adalah sukan yang berakar umbi dalam warisan kita, dan kami berbangga dapat menyumbang kepada pertumbuhannya di peringkat tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.

Sebagai rekod, TM bukanlah nama asing dalam pembangunan sukan negara apabila sebelum ini turut menjadi antara penaja utama saingan liga bola sepak tempatan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Justeru, sumbangan berterusan TM kepada beberapa cabang sukan di Malaysia diharap mampu membuka mata lebih banyak badan korporat lain untuk tampil bersama membantu memajukan industri sukan negara.

Ini kerana terdapat banyak lagi kemudahan dan venue sukan di seluruh negara yang memerlukan sokongan sektor korporat bagi memastikan ia dapat dinaik taraf serta dibangunkan menjadi infrastruktur bertaraf dunia.

Komitmen TM sewajarnya menjadi contoh kepada badan korporat lain dalam menyokong pembangunan sukan dan infrastruktur negara kerana usaha seperti ini memberi manfaat kepada atlet dan rakyat terutamanya.

Malah, ia turut membantu meringankan beban kerajaan dalam usaha mengekalkan dan meningkatkan kemudahan sukan negara agar terus berada pada tahap terbaik untuk generasi akan datang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN