PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 6 dunia, S. Sivasangari akhirnya kembali merangkul gelaran selepas 13 bulan dengan Terbuka Australia kini berasa dalam dakapan pemain No. 1 Malaysia itu.
Anak jati Sungai Petani, Kedah itu mudah membenam wakil Amerika Syarikat, Marina Stefanoni 11-7, 11-4, 11-8 dalam masa 28 minit pada perlawanan akhir di Brisbane, Australia, hari ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sivasangari kini semakin melebarkan rekod kemenangan ke atas pemain No. 19 dunia itu kepada 3-0.
Kali terakhir Sivasangari merangkul gelaran dalam Jelajah Dunia PSA ialah pada Piala Cincinnati Gaynor di Amerika Syarikat, Februari tahun lalu dan ia juga merupakan kemenangan kedua pemain itu pada kejohanan berstandard Gold sepanjang kariernya.
Gelaran tersebut juga adalah kejayaan sulung dicatat pemain berusia 27 tahun itu bagi musim 2025/26, selepas kerap tersingkir sama ada di peringkat lapan terbaik ataupun separuh akhir.
Ketiadaan kelibat beberapa pemain utama Mesir turut membantu kejayaan Sivasangari yang sering kali kecundang di tangan jaguh Mesir antaranya bintang No. 3 dunia, Amina Orfi.
Sivasangari berkata, persembahan yang dipamerkan pada final, hari ini, menepati statusnya sebagai pilihan pertama dan jarang sekali sebenarnya pada kejohanan berstatus Gold, beberapa pemain utama tidak beraksi.
“Ketiadaan mereka telah meletakkan saya sebagai pilihan pertama dan saya akui berasa sedikit tertekan berbanding pencabar yang lain.
“Namun, saya masih menikmati keseronokan beraksi di Brisbane, minggu ini, lebih-lebih lagi keserasian saya dengan gelanggang juga semakin baik,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.
Mengulas pula mengenai pencabarnya, Sivasangari berkata, dia dapat memahami apa yang dirasai pemain muda Amerika Syarikat itu apabila berdepan dengan pemain pilihan pada perlawanan akhir.
Jelasnya, dia juga pernah berada di situasi sama ketika menjuarai Kejohanan London Klasik, dua tahun lalu, apabila terpaksa menentang pemain handalan dunia.
“Tetapi saya enggan terlalu berfikir banyak dan hanya fokus kepada diri sendiri, Stefanoni pemain yang hebat, namun, saya gembira muncul sebagai pemenang,” katanya. – UTUSAN










