Sivasangari hampiri gelaran sulung musim ini

Sivasangari hampiri gelaran sulung musim ini

S. Sivasangari sewaktu beraksi menentang Nele Gillis pada separuh akhir Terbuka Australia di Brisbane, Australia, hari ini. - Ihsan Facebook PSA Squash Tour
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang No. 6 dunia, S. Sivasangari menghampiri gelaran sulungnya musim ini selepas menempah laluan ke perlawanan akhir pada Kejohanan Skuasy Terbuka Australia di Brisbane, Australia, hari ini.

Pemain berusia 27 tahun yang diletakkan sebagai pilihan pertama itu membenam wakil Belgium, Nele Gillis yang menghuni ranking No. 12 dunia 11-8, 13-11, 11-4 dalam masa 50 minit di separuh akhir.

Kemenangan tersebut menyaksikan Sivasangari kini menyamai rekod pertemuan menentang bekas pemain No. 4 dunia itu menjadi 4-4.

Sejak setahun, dua kebelakangan ini, Gillis mengalami penurunan prestasi yang menyaksikan Sivasangari sudah mampu menyainginya selepas tiga pertemuan terakhir termasuk kejohanan, hari ini, berpihak kepada anak jati Sungai Petani, Kedah itu.

Sivasangari sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia gembira berjaya mara ke perlawanan akhir dan berdepan Gillis tidak mudah kerana lawannya itu merupakan pemain yang hebat.

“Malah, beraksi di Brisbane juga tidak mudah dengan cuaca yang panas, tetapi, saya membesar di Malaysia, jadi, sudah terbiasa dengan situasi tersebut,” katanya.

Pada perlawanan akhir, esok, Sivasangari akan berdepan sama ada adik kepada Nele iaitu Tinne Gillis yang merupakan bintang No. 10 dunia ataupun pemain muda Amerika Syarikat, Marina Stefanoni yang berada di tangga ke-19 dunia.

Sama ada Tinne ataupun Stefanoni, Sivasangari mempunyai kelebihan jika rekod pertemuan lalu diambil kira.

Berdepan Tinne, Sivasangari memegang rekod pertemuan 2-1, manakala, menentang Stefanoni pula pemain No. 1 Malaysia itu mendahului 2-0.

Kali terakhir berdepan Tinne, Sivasangari menundukkan pemain Belgium itu pada separuh akhir Piala Grasshopper, tahun lepas yang berkesudahan Sivasangari menang 13-11, 7-11, 11-8, 15-13.

Menentang Stefanoni, graduan Universiti Cornell itu melakar kemenangan 11-4, 11-4, 13-15, 11-3 pada pusingan pertama Kejohanan Dunia pada 2022.

Kali terakhir Sivasangari merangkul gelaran dalam Jelajah Dunia PSA ialah pada Piala Cincinnati Gaynor, Februari tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN