Sivasangari, Eain Yow berdepan jaguh No. 2 dunia

Sivasangari, Eain Yow berdepan jaguh No. 2 dunia

S. SIVASANGARI (depan) membalas pukulan Caroline Fouts pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Dunia di Kelab Palm Hills, Kaherah, Mesir, kelmarin. - Ihsan PSA World Tour
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua wakil negara, S. Sivasangari dan Ng Eain Yow mara ke pusingan ketiga selepas mengetepikan lawan masing-masing di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Skuasy Dunia di Kelab Palm Hills, Kaherah, Mesir, kelmarin.

Pemain No. 11 dunia, Sivasangari menewaskan pemain muda Amerika Syarikat (AS), Caroline Fouts 11-6, 11-7, 11-6 dalam masa 24 minit, manakala, Eain Yow yang menghuni ranking ke-17 dunia menundukkan Ryunosuke Tsukue dari Jepun 11-1, 11-5, 11-9 dalam masa 36 minit.

Bagaimanapun, kedua-dua wakil negara itu berdepan tugas sukar di pusingan ketiga apabila Sivasangari akan menentang bintang No. 2 dunia Mesir, Haniaa El Hammamy, manakala, Eain Yow bertemu jaguh New Zealand, Paul Coll yang juga pemain No. 2 dunia.

Bagi Sivasangari, pertembungannya dengan El Hammamy mungkin dinantikan bintang muda tuan rumah itu yang sudah tentu mahu membalas dendam selepas tumpas di tangan anak jati Sungai Petani, Kedah tersebut pada final Kejohanan Skuasy Klasik London, April lalu.

Sivasangari berkata, dia bermula agak perlahan dalam perlawanan pertamanya pada Kejohanan Dunia edisi kali ini.

“Tetapi, untuk aksi berdepan Fouts, permainan saya benar-benar menjadi, saya semakin mendapat rentak,” katanya menjelang pertemuan menentang El Hammamy, esok (pukul 1.30 pagi waktu Malaysia).

Pemain berusia 25 tahun itu memberitahu, sebelum ke Kejohanan Dunia, masanya banyak dihabiskan di AS untuk berlatih bersama David Palmer yang banyak membantu meningkatkan kualiti permainannya.

Bagi Eain Yow pula, rekod pertemuannya berdepan Coll berpihak kepada pemain New Zealand itu 2-1 dengan pertembungan terakhir pada Januari lepas pada pusingan kedua J.P. Morgan Tournament of Champions 2024 yang menyaksikan anak jati Kuala Lumpur itu tewas straight set 6-11, 8-11, 3-11.

Eain Yow pernah menumpaskan Coll pada Terbuka Singapura, dua tahun lalu dalam perlawanan yang berlanjutan sehingga ke set penentuan.

“Saya gembira berjaya mara ke pusingan ketiga dan ini kali pertama saya berjaya melangkah sejauh ini,” ujarnya yang akan berdepan Coll pukul 12.45 malam, esok (waktu Malaysia).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×