BEIRUT: Israel melancarkan gelombang serangan ke atas Teheran dan Beirut pada Selasa, manakala serangan di Baghdad turut mengheret Iraq lebih jauh ke dalam konflik Asia Barat yang mencetuskan ketidaktentuan ekonomi global.
Ibu negara Iran, yang dibedil hampir setiap hari sejak serangan bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel mencetuskan perang pada 28 Februari lalu, sekali lagi menjadi sasaran dalam serangan yang menurut tentera Israel menyasarkan ‘infrastruktur pengganas’.
Perang yang kini memasuki minggu ketiga meragut ratusan nyawa dan pantas merebak, termasuk serangan balas Iran ke atas negara Teluk serta pengeboman Israel di Lubnan.
Media negara Lubnan melaporkan serangan Israel pada awal pagi ini menyasarkan sebuah bangunan kediaman di pinggir selatan Beirut, kubu kuat kumpulan bersenjata pro-Iran, Hizbullah.
Pihak berkuasa Lubnan memaklumkan lebih sejuta penduduk mendaftar sebagai pelarian sejak 2 Mac, dengan lebih 130,000 orang kini berlindung di lebih 600 pusat perlindungan sementara.
Lubnan mula terheret ke dalam konflik apabila kumpulan Hizbullah melancarkan serangan ke atas Israel susulan pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada hari pertama perang.
Konflik serantau itu turut menarik Iraq semakin jauh ke dalam kancah pertempuran, selepas negara itu sekian lama menjadi medan proksi antara AS dan Iran.
Serangan dron dan roket menyasarkan Kedutaan AS di Baghdad awal hari ini, manakala satu lagi serangan mengorbankan empat individu di sebuah rumah yang dilaporkan menempatkan penasihat Iran.
Serangan ke atas kompleks itu berlaku beberapa jam selepas sistem pertahanan udara berjaya mematahkan serangan roket ke atas kedutaan berkenaan, sementara sebuah dron mencetuskan kebakaran di sebuah hotel mewah yang sering dikunjungi diplomat asing di Zon Hijau berkubu di Baghdad.
Perang di Asia Barat turut melonjakkan harga minyak global, dengan harga kembali meningkat pada Selasa ketika beberapa negara menolak desakan Presiden AS, Donald Trump, supaya membantu mengamankan Selat Hormuz, sementara Iran terus menyasarkan negara jiran pengeluar minyak mentah.
Trafik di laluan perairan Teluk yang mengendalikan satu perlima bekalan minyak mentah global kini terjejas teruk akibat perang.
Serangan berulang ke atas infrastruktur minyak, termasuk ke atas medan utama di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan selatan Iraq, terus menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran.
Harga minyak global melonjak lebih 40 peratus sejak AS dan Israel melancarkan serangan, dengan kesannya dirasai di seluruh dunia.
Bank pusat Australia turut menaikkan kadar faedah utama Selasa, dengan menyatakan ‘kenaikan mendadak harga bahan api’ didorong oleh perang AS-Israel terhadap Iran.- AFP









