KUWAIT CITY: Dron menyerang sebuah tangki bahan api dan mencetuskan kebakaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, kata pihak berkuasa penerbangan awam negara Teluk itu pada Rabu, ketika Iran meneruskan serangannya dalam perang serantau yang hampir berlarutan empat minggu.
Memetik maklumat awal, Direktorat Jeneral Penerbangan Awam dalam satu kenyataan yang disiarkan secara dalam talian memaklumkan serangan itu hanya menyebabkan kerosakan terhad dan tiada korban jiwa.
Pasukan bomba sedang berusaha mengawal kebakaran tersebut, kata jurucakap agensi itu, Abdullah Al-Rajhi.
Sementara itu, Pengawal Negara Kuwait dalam satu kenyataan memaklumkan pasukannya memintas enam dron awal Rabu, manakala tentera berkata pertahanan udara sedang ‘menangkis serangan peluru berpandu dan dron musuh’.
Di tempat lain di Teluk, Arab Saudi memaklumkan mereka memintas empat dron di timur negara itu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait kini sebahagian besarnya ditutup kepada penerbangan komersial selepas beberapa serangan sejak perang serantau bermula pada 28 Februari, apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran.
Pada 14 Mac, pihak berkuasa penerbangan awam memaklumkan satu serangan menggunakan beberapa dron menyasarkan lapangan terbang dan menghancurkan sistem radar. Tiada korban jiwa dilaporkan.
Sebelum itu, pada 8 Mac, dron menyerang tangki bahan api di lapangan terbang, manakala serangan terdahulu di terminal penumpang menyebabkan beberapa individu cedera ringan dan kerosakan harta benda.
Akibat konflik, syarikat penerbangan utama telah menangguhkan penerbangan ke negara Teluk ini atau mengurangkan operasi akibat kekurangan bahan api yang berkait dengan perang.- AFP











