Senator Filipina gesa tuntut semula Sabah dari Malaysia

Senator Filipina gesa tuntut semula Sabah dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Senator Robin Padilla menggesa Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., supaya menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, susulan kenaikan harga petroleum akibat krisis di Asia Barat.

Dalam hantaran di Facebook, Padilla berkata, kerajaan Filipina perlu menghantar wakil ke Malaysia bagi mengadakan rundingan berhubung tuntutan wilayah berkenaan.

“Presiden, sudah tiba masanya untuk kita menghidupkan semula tuntutan yang sewajarnya ke atas Sabah. Kita perlu bertindak sekarang dan menghantar wakil kita. Borneo Utara sememangnya kaya dengan sumber minyak,” katanya.

Padilla turut berkata Laksamana Muda Pengawal Pantai Filipina (PCG), Jay Tarriela, perlu menzahirkan semangat patriotiknya melalui isu tuntutan Sabah.

Sabah, yang terletak di Pulau Borneo di selatan Mindanao, sekian lama menjadi subjek pertikaian wilayah antara Filipina dan Malaysia.

Pewaris Sultan Sulu mendakwa, sultan Filipina yang asal pernah menguasai wilayah itu selama berabad-abad, namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1963 mengiktiraf Sabah sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

Bagaimanapun, Padilla menjelaskan isu itu perlu diselesaikan melalui rundingan secara aman.

“Betul, kita perlu berunding, bukan bertelagah. Malaysia adalah rakan dan jiran kita.

“Setiap perkara ada jalan tengah yang boleh memberi manfaat, khususnya kepada rakyat Sabah. Kita hanya perlu membincangkannya kerana kawasan itu mempunyai sumber minyak yang melimpah,” katanya.

Terdahulu, Presiden Marcos pada Jumaat berkata, negara itu mempunyai bekalan minyak mentah yang mencukupi sehingga 30 Jun 2026.

Presiden juga mengisytiharkan darurat tenaga peringkat nasional susulan kenaikan berterusan harga produk petroleum.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN