PETALING JAYA: Selangor FC kembali mengaum dalam saingan Liga Super apabila membenam Imigresen FC 4-0 pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya(MBPJ),sebentar tadi.
Kemenangan bergaya itu membolehkan skuad kendalian Kim Pan-gon kembali merampas tangga kedua liga, memintas Kuala Lumpur City FC dan Kuching City FC.
Lebih manis, tiga mata penuh itu menebus kekecewaan Red Giants minggu lalu selepas sekadar seri menentang Melaka FC.
Sebaliknya, kekalahan tersebut menyaksikan anak buah Yusri Che Lah terus terperosok di tangga kesembilan dengan kutipan 18 mata.
Selangor yang tampil garang sejak wisel pertama hampir memecah kebuntuan lebih awal, namun benteng pelawat hanya roboh pada minit ke-28.
Penyerang berbisa dari Brazil, Chrigor Moraes membuka tirai jaringan menerusi tandukan tajam selepas menerima hantaran lintang Faisal Halim.
Tuan rumah menggandakan kelebihan seminit sebelum rehat apabila pertahanan Zikri Khalili turut mencatat nama selaku penjaring hasil tandukan daripada sepakan sudut yang diambil Alvin Fortes.
Memasuki babak kedua, Imigresen cuba bangkit dan sempat menjaringkan gol pada minit ke-48 menerusi Fayadh Zulkifli, namun jaringan itu dibatalkan selepas dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Selangor terus menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Moraes sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-78 untuk gol peribadi kedua malam itu.
Penyerang import, Vitor Pernambuco akhirnya menamatkan kemarau jaringan bersama Selangor apabila menyempurnakan gol keempat di penghujung permainan – gol sulungnya sejak menyertai kelab itu pada Januari lalu.
Malah, Pernambuco hampir menambah satu lagi jaringan, namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol.
Keputusan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Red Giants terus memberi tekanan dalam perebutan naib juara Liga Super.-UTUSAN










