KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengakui hubungan dan komunikasi baik bersama ketua krew pasukan, Jonathan Morales amat penting untuknya mengharungi Kejuaraan Motosikal Dunia tanpa sebarang masalah.
Anak muda yang bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi Racing Team itu berkata, dia mahu lebih memahami arahan Morales agar tidak timbul salah faham terutamanya ketika perlumbaan sedang berlangsung.
“Selain gaya tunggangan, saya perlu perbaiki lagi saya punya komunikasi, supaya saya mampu bercakap dengan ketua krew lebih baik.
“Komunikasi ini penting untuk saya mendapatkan pelarasan jentera lebih baik ketika berlumba dekat trek,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani dan Pengumuman Kerjasama MSi Racing Team dengan AEON Credit di sini, semalam.
Turut serta pada majlis itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON Credit, Daisuke Maeda dan pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.
Menurut pelumba berusia 18 tahun itu, buat masa sekarang, komunikasinya dengan Morales masih berjalan lancar, cuma dia mahu meningkatkan penguasaan bahasa Inggerisnya.
“Saya bersama Jonathan ini sejak dalam Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP lagi, saya dah bekerja dengan dia termasuk tahun ini tiga tahun,” katanya.
Hakim Danish berkata, hanya Morales yang kekal bersamanya sejak daripada perlumbaan JuniorGP, manakala, mekanik kesemuanya daripada pasukan Moto3.
Mengulas pula mengenai prestasinya pada Grand Prix Thailand di Buriram, anak jati Terengganu itu memberitahu, dia mengharungi perlumbaan yang mencabar di Litar Antarabangsa Chang dan masih banyak yang perlu diperbaiki untuknya terus bersaing dalam pusingan akan datang.
“Saya memang bekerja keras untuk kejar di kelompok hadapan, tetapi saya masih lagi perlu perbaiki dari segi saya punya pelarasan jentera dan juga gaya tunggangan, sebab di kelompok hadapan itu dia orang lebih laju,” katanya.-UTUSAN










