KUANTAN: Sejak moratorium perlombongan bauksit pada 2016, kawasan seluas kira-kira 2,428 hektar di Felda Bukit Goh di sini terbiar tanpa usaha pemulihan tanah yang sistematik.
Aktiviti perlombongan yang rancak sekitar 2014 hingga 2016 meninggalkan kesan mendalam terhadap struktur tanah dengan lubang sedalam antara satu ke enam meter.
Ekoran aktiviti itu, lapisan atas tanah yang subur atau topsoil sudah digali, menyebabkan kelapa sawit atau getah sukar tumbuh semula.
Ada peneroka menyebut, kelapa sawit seakan sudah ‘merajuk’ kerana tidak lagi berbuah selepas ditanam di kawasan terjejas, jika hidup sekalipun tumbesaran pokok itu terbantut dan mati.
Peneroka, Rosman Jabar, 54, berkata, usaha menanam semula sawit selepas perlombongan bauksit tidak berhasil kerana pokok tidak membesar dengan baik.
“Tanah sudah hilang kesuburan, sawit tidak berbuah. Lubang terlalu dalam sehingga tiga meter, sukar untuk diusahakan semula.
“Keadaan di situ sama selepas ditinggalkan pada 2016, tanah merah dan rumput pun tidak tumbuh kerana tanah tidak lagi subur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, selepas sedekad menanti tanpa sebarang hasil, seramai 671 peneroka dan generasi kedua Felda Bukit Goh terus mengharapkan Ramadan kali ini membawa khabar gembira buat mereka sekeluarga.
Harapan mereka kini terarah kepada penyelesaian berhubung isu tanah seluas 2,428 hektar yang terlibat dengan aktiviti perlombongan bauksit di tanah rancangan berkenaan.
Kemelut berpanjangan tersebut sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan ratusan keluarga yang terkesan.
Rosman berkata, peneroka difahamkan, jika mahu kembali kepada pertanian, tanah perlu dirawat dengan pengisian semula, penstabilan struktur dan mungkin penggunaan tanaman penutup bumi sebelum sawit atau getah boleh ditanam semula.
“Tanpa pemulihan besar-besaran, tanah bekas lombong bauksit di Felda Bukit Goh tidak sesuai untuk tanaman semula sawit atau getah. Jika nak dipulihkan, siapa nak tanggung kosnya?,” soalnya. – UTUSAN










