Real terus 'hantui' City

Real terus ‘hantui’ City

PEMAIN Real Madrid meraikan kejayaan mereka menumpaskan Manchester City di pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Real Madrid mengukuhkan reputasi sebagai kuasa besar Eropah apabila menyingkirkan Manchester City untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menang 2-1 di Stadium Etihad, semalam.

Kemenangan itu menjadikan agregat 5-1 buat kelab gergasi Sepanyol tersebut dan ia musim ketiga berturut-turut mereka menyingkirkan City daripada kejohanan berprestij itu.

Real bermula dengan agresif dan berjaya membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi sepakan penalti Vinicius Junior selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan bola terkena tangan Bernardo Silva di garisan gol.

Insiden itu turut memaksa City beraksi dengan 10 pemain, sekali gus memberi kelebihan besar kepada anak buah Alvaro Arbeloa untuk mengawal tempo permainan.

“Kali terakhir kami datang ke sini, penyokong City mengejek saya (mereka mengangkat sepanduk ‘henti menangis’ selepas Rodri memenangi Ballon d’Or 2024 mengatasi saya).

“Saya tidak berniat menghina penyokong City, itu hanya cara untuk saya buktikan kemampuan,”kata Vinicius.

Walaupun beraksi dengan kekurangan pemain, City tetap bangkit memberi tentangan apabila Erling Haaland menyamakan kedudukan pada minit ke-41 hasil hantaran Jeremy Doku.

Vinicius menutup tirai perlawanan dengan gol kedua pada masa kecederaan menerusi voli menarik hasil hantaran Aurelien Tchouameni untuk memastikan kemenangan mutlak Real.

Arbeloa memuji kesungguhan anak buahnya namun tetap menghormati Pep Guardiola sebagai antara jurulatih terbaik di dunia.

“Ia perlawanan yang sangat sukar menentang pasukan penuh bakat seperti ini. Kami gembira dengan prestasi dan perjalanan ini diteruskan. Saya tidak berani mengatakan saya boleh menewaskan Pep Guardiola dari segi taktikal. Dia jurulatih elit, sudah memenangi banyak trofi,” katanya.

Bagi pengendali City, Guardiola mengakui kad merah antara punca utama City gagal bangkit tetapi tidak menindak kemampuan lawan yang sememangnya berada di tahap terbaik.

“Ketinggalan 3-0 memang hampir mustahil, tapi cuba dan pemain menunjukkan semangat. Kami sudah berusaha tapi kami tewas 5-1, tahniah kepada Real. Masa depan cerah, musim depan kami akan kembali,” ujarnya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN