DALLAS: Kejohanan Piala Dunia terlalu besar untuk ditangguhkan dan kejohanan edisi 2026 akan tetap berlangsung seperti dirancang walaupun konflik berterusan di Asia Barat.
Ketua Pegawai Operasi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Heimo Schirgi berkata, badan induk itu berharap semua negara yang layak akan menyertai Piala Dunia 2026.
“Pada satu tahap, kami akan mendapat penyelesaian dan Piala Dunia pasti akan diteruskan. Piala Dunia terlalu besar dan kami berharap semua negara yang layak dapat mengambil bahagian,” katanya.
Schirgi berkata demikian ketika ditanya mengenai Iran dengan penyertaannya pada Piala Dunia masih belum pasti susulan peperangan yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas negara itu.
Schirgi berkata, FIFA sedang memantau rapat situasi di Asia Barat sambil bekerjasama dengan rakan persekutuan serta badan antarabangsa bagi menilai perkembangan semasa setiap hari.
FIFA minggu lalu memaklumkan badan induk bola sepak dunia itu sedang memberi perhatian terhadap perkembangan di Iran hanya beberapa bulan sebelum Piala Dunia bermula pada Jun.
Untuk rekod, Iran layak ke kejohanan itu menerusi kempen kelayakan Zon Asia dan dijadualkan berdepan Belgium, New Zealand dan Mesir dalam Kumpulan G.
Dua perlawanan melibatkan Iran akan berlangsung di Los Angeles manakala satu lagi di Seattle.
Menurut Schirgi, FIFA sudah mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Bolasepak Iran, namun enggan mendedahkan butiran perbualan berkenaan.
Piala Dunia 2026 bakal menjadi edisi terbesar dalam sejarah dengan 48 negara bertanding di tiga negara tuan rumah.
AS akan menjadi tuan rumah di 11 bandar, Mexico di tiga bandar dan Kanada di dua bandar.
Pegawai FIFA berada di Dallas bagi mengumumkan perancangan festival penyokong bandar itu, dengan pusat penyiaran antarabangsa di dalam Pusat Konvensyen Kay Bailey Hutchison masih dalam pembinaan.- AGENSI










