Piala ASEAN: Harimau Malaya terpaksa main 'gelanggang' lain

Piala ASEAN: Harimau Malaya terpaksa main ‘gelanggang’ lain

Harimau Malaya tidak dapat menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil pada Kejohanan Piala ASEAN Julai ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya terpaksa beraksi di gelanggang lain bagi aksi tempat sendiri pada kejohanan Piala ASEAN yang dijadual berlangsung pada Julai ini.

Keputusan itu terpaksa dibuat selepas Stadium Nasional Bukit Jalil, yang lazimnya menjadi gelanggang rasmi pasukan kebangsaan, tidak dapat digunakan kerana sedang menjalani proses penyelenggaraan bagi persiapan Sukan SEA 2027.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa venue alternatif bagi memastikan skuad negara tidak kehilangan kelebihan tempat sendiri.

“Bagi aksi peringkat kumpulan Piala ASEAN, perlawanan pertama menentang Laos akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, manakala aksi kedua pula di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Pada awalnya, kita mahu kedua-dua perlawanan diadakan di Cheras, tetapi tarikh bertembung dengan Piala ASEAN wanita. Tetapi segalanya tertakluk kepada kelulusan AFF pada April depan,” jelas Noor Azman.

Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, Filipina, Myanmar, dan Laos, dengan kejohanan berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos.

Pasukan negara berazam memburu kejayaan selepas edisi 2024, ketika dibimbing Pau Marti Vicente, terkandas di peringkat kumpulan, manakala Thailand dan Singapura mara ke separuh akhir.

Sebagai rekod, Harimau Malaya pernah mencipta kejayaan gemilang dengan menjuarai Piala AFF 2010, selepas menewaskan Indonesia di final dengan agregat 4-2.

Jelas Noor Azman, meskipun terpaksa menyesuaikan diri dengan gelanggang alternatif, pihak FAM akan memastikan persiapan pasukan tetap optimum bagi menghadapi saingan sengit peringkat kumpulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN