PETALING JAYA: Beberapa ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bimbang jika badan induk bola sepak itu berdepan hukuman lebih berat daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung isu pemalsuan dokumen yang membabitkan tujuh pemain negara.
Perkara itu menjadi perhatian menjelang pembentangan laporan status terkini Audit AFC yang dijadual berlangsung di Wisma FAM hari ini, dengan ahli gabungan mahu mengetahui perkembangan sebenar berkaitan isu berkenaan.
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia, Mohd Firdaus Mohamed berkata, pihaknya bimbang sekiranya hukuman yang dikenakan kelak boleh menjejaskan pelaksanaan program pembangunan bola sepak negara.
Menurutnya, tindakan disiplin yang berat berpotensi memberi kesan kepada perancangan jangka panjang FAM termasuk program strategik yang melibatkan persatuan bola sepak negeri.
“Kita harap kelebihan di mana FAM boleh meneruskan program strategik mereka kerana kita risau jika kita digantung sehingga tidak lagi boleh menjalankan sebarang program.
“Kita mahu melihat sesuatu yang positif supaya program yang sepatutnya diadakan oleh persatuan bola sepak negeri (FA) berjalan dengan baik.
“Apa pun, biarlah isu ini terakhir di FAM dan tidak lagi berlaku isu seperti ini pada masa akan datang,” katanya.
Firdaus yang juga bekas Naib Presiden FAM berkata, PBMM sebagai salah satu ahli gabungan turut menuntut penjelasan daripada FAM berhubung perkembangan isu berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas rasmi mengenai perkara tersebut.
“Saya tidak pasti berkenaan ahli gabungan lain tetapi kita di PBMM memang minta penjelasan daripada FAM dengan apa yang berlaku.
“Sehingga sekarang pun, kita tidak dapat lagi keputusan ataupun hasil daripada apa yang kita tanyakan daripada FAM.
“Saya rasa rata-rata ahli gabungan kecewa dengan keputusan yang dikeluarkan (oleh CAS) tetapi itulah realiti yang kita perlu terima untuk mendewasakan FAM itu sendiri,” ujar Firdaus. – UTUSAN










