LANGKAWI: Pertuduhan terhadap aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Majistret, di sini hari ini ditangguhkan pada 17 Mei depan.
Pada prosiding di hadapan Majistret Hemy Annerina Haja Mydin, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim memohon tempoh sekurang-kurangnya dua bulan bagi membolehkan tertuduh dibawa ke mahkamah.
Beliau turut menyatakan bahawa tertuduh dikesan ke ke Riyadh, Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, Thailand pada kelmarin.
Pihak pendakwaan bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada tertuduh masuk ke negara tersebut menggunakan visa pelancong atau visa umrah yang mempunyai tempoh masa berbeza.
Majistret Hemy Annerina kemudian menetapkan 17 Mei depan bagi kes tersebut.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, Tamim Dahri akan didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan berhubung tindakan merosakkan solem suci di Tapak Lama Kuil Sri Maha Muniswarar, Langkawi.
Katanya, maklumat risikan menunjukkan beliau telah ke luar negara melalui Thailand, namun lokasi sebenar setakat semalam masih belum dapat dipastikan dan maklumat lanjut sedang diperoleh.
Tambah Mohd. Ismail, pihaknya bersedia untuk bekerjasama secara berterusan dengan negara jiran bagi memastikan Tamim Dahri dapat dibawa pulang ke Malaysia dan didakwa.
Setakat ini, sebanyak 192 laporan polis telah dibuat ke atas tertuduh, Tamim Dahri susulan videonya yang merosakkan objek suci penganut Hindu di Langkawi pada 8 Mac lalu sebelum dikesan keluar ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam pada 9 Mac lepas. – UTUSAN










