PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi membuktikan status mereka selaku beregu lelaki No. 2 dunia, setelah mengesahkan slot final menjadi milik mereka pada Kejohanan Badminton All England di Utilita Arena Birmingham, England, awal pagi tadi.
Pasangan No. 1 Malaysia itu membenam beregu No. 11 dunia, Chen Bo Yang-Liu Yi dari China 21-11, 21-19 dalam masa 42 minit di separuh akhir.
Wooi Yik sewaktu diminta mengulas mengenai perlawanan separuh akhir itu berkata, dalam set pertama, mereka beraksi dominan sehingga berjaya mengawal rentak permainan lawan dan tidak memberi banyak peluang untuk beregu China itu melakukan serangan balas.
“Namun di set kedua, kami agak bergelut, terutamanya apabila mereka mendahului dengan jurang empat hingga lima mata. Dari situ, kami menukar sedikit taktikal dengan meletakkan saya lebih banyak di bahagian depan.
“Saya rasa taktik tersebut berkesan untuk mematahkan rentak lawan kerana apabila kami bermain secara ‘drive’ (pukulan mendatar), ia tidak memberi banyak kelebihan buat mereka,” katanya.
Sementara itu, bercakap tentang ketinggalan 13-18 dalam set kedua Aaron pula berkata, dia dan Wooi Yik hanya fokus kepada permainan di dalam gelanggang dengan sokongan jurulatih yang sentiasa memberi teguran sepanjang perlawanan.
“Kami juga melakukan beberapa perubahan taktikal ketika berada dalam keadaan genting dan akhirnya kami berjaya memenangi set itu,” katanya.
Setakat ini, Aaron-Wooi Yik kekal konsisten mara dalam perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut pada kejohanan berstandard Super 1,000, musim ini, selepas berbuat demikian pada Terbuka Malaysia.
Bagaimanapun, misi lebih besar wajib diburu Aaron-Wooi Yik iaitu merangkul gelaran sulung All England setelah dua kali mereka gagal apabila sekadar muncul sebagai naib juara pada edisi 2019 dan 2024.
Untuk pencapaian beregu lelaki negara pada kejohanan tertua di dunia itu pula, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi wakil terakhir Malaysia merangkul gelaran di All England pada kejohanan 2007 iaitu 19 tahun lalu.
Kini, hanya beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan yang merupakan juara bertahan mampu menjadi penghalang seperti mana mereka lakukan pada final Terbuka Malaysia, Januari lalu.
Ketika ditanya mengenai pengajaran yang diraih daripada dua kegagalan pada perlawanan akhir Wooi Yik berkata, sejujurnya, dia dan Aaron hanya mahu fokus kepada permainan mereka, tanpa terlalu banyak berfikir sehingga mengundang tekanan.
“Saya rasa keputusan akan datang dengan sendirinya apabila kami lebih fokus kepada prestasi diri sendiri berbanding memikirkan tentang keputusan akhir,” tegasnya. – UTUSAN










