WASHINGTON: Pentagon pada Selasa memaklumkan kira-kira 140 anggota tenteranya tercedera dalam siri serangan sejak bermulanya peperangan menentang Iran.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, dalam satu kenyataan menjelaskan sebahagian besar daripada kecederaan yang dialami adalah ringan, di mana seramai 108 anggota dilaporkan kembali bertugas seperti biasa.
“Bagaimanapun, lapan anggota tentera masih disenaraikan sebagai cedera parah dan sedang menerima rawatan perubatan pada tahap tertinggi,” tambah beliau.
Sebelum ini, pihak tentera Amerika Syarikat (AS) turut mengesahkan tujuh anggotanya terkorban dalam serangan awal oleh pihak Iran, dengan enam kematian dilaporkan di Kuwait dan seorang di Arab Saudi.
Konflik itu memuncak selepas tentera AS dan Israel melancarkan kempen serangan udara besar-besaran terhadap Iran pada 28 Februari lalu.
Sebagai tindak balas, Teheran melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan negara-negara serantau yang menempatkan pangkalan atau tentera AS.
Ketua Pentagon, Pete Hegseth, menyatakan pada awal Selasa intensiti serangan AS ke atas Iran semakin meningkat, sementara jumlah pelancaran dron dan peluru berpandu oleh pihak Iran dilaporkan menunjukkan penurunan yang drastik.- AGENSI










